ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Tempoh tahanan reman seorang penganggur yang menumbuk dan menendang bapa tirinya sehingga cedera dalam kejadian di Kampung Ruat, Yan dekat sini pada Selasa dilanjutkan dua hari lagi.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji mengesahkan reman ke atas suspek berusia 28 tahun itu dilanjutkan hingga Ahad ini.
"Tempoh reman dilanjutkan sehingga 20 Februari ini," katanya ketika diminta mengulas perkembangan terkini suspek yang ditahan polis jam 6.45 petang pada Selasa di kawasan Lubuk Boi, Yan untuk siasatan lanjut.
Sebelum ini, suspek direman selama tiga hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan kes tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 2012.
Pada 15 Februari lepas, Sinar Harian melaporkan seorang bapa mengalami bengkak di telinga kiri akibat ditumbuk anak tiri lelaki dalam kejadian di Kampung Ruat di sini kira-kira jam 8.30 pagi pada Selasa.
Selain itu, mangsa berusia 72 tahun turut mendakwa ditumbuk di kepala dan ditendang di bahagian dada serta muka oleh anak tirinya itu dipercayai akibat tidak diberikan wang untuk mendapatkan bekalan dadah.
Ketika kejadian, mangsa bersama isteri berada dalam rumah sebelum didatangi suspek dan mengamuk.
Video berdurasi 30 saat yang merakamkan perbuatan suspek tular di media sosial.
Mangsa Nordin Ahmad yang cedera di mulut, telinga, rusuk kanan dan belakang badan ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis memberitahu tidak menyimpan dendam terhadap anak tirinya.
Nordin berkata, dia memaafkan tindakan anak tirinya dan berharap pemuda itu akan berubah selepas ini.