JOHOR BAHRU - Calon paling muda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Fakrulradzi Mahmud, 32, akan memperjuangkan isu masyarakat setempat di kawasan yang ditandingi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau pada PRN Johor.
Katanya, isu seperti isu petani, anak muda, nelayan serta pusat tarikan pelancong di kawasan Endau akan dijadikan modal bagi menarik sokongan rakyat di kawasan terbabit.
Iklan
Iklan
"Kawasan pelancongan di Endau ini tidak membangun, jadi hasrat saya untuk menjadikan Endau sebagai bandar tercantik bagi menarik kehadiran pelancong," katanya selepas Majlis Pengumuman Calon Amanah bagi PRN Johor di sebuah hotel di bandar raya ini pada Jumaat.
Majlis pengumuman calon itu dilakukan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Sementara itu, calon bagi DUN Bukit Pasir, Elia Nadira Sabudin, 39, berkata, sebagai calon muda wanita, peluang yang diberikan parti untuk bertanding pada PRN Johor tidak akan disia-siakan.
Ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, pengalaman yang ditimba sebagai Timbalan Biro Ekonomi Wanita Amanah Nasional banyak membantu dirinya berkecimpung dalam politik dan mendekati rakyat.
"Saya sudah bersedia untuk bersama masyarakat DUN Bukit Pasir. Saya akan lakukan yang terbaik untuk penduduk di situ," katanya yang juga pelajar tahun akhir Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).