SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) harus menghormati semangat rundingan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mengekalkan kerjasama blok pembangkang.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Saifuddin Shafi Muhamad sehubungan itu menggesa parti Muda untuk fokus kepada musuh yang sebenar.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kesatuan atau persefahaman antara parti adalah kunci kejayaan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan wajar menjadi intipati kepada semua pihak pada masa kini.
"Malah, rundingan juga belum lagi selesai dan selaku parti yang baru sahaja menyertai khemah besar Pakatan Harapan, maka Muda sewajarnya berdiri teguh bersama Harapan dan menghormati proses rundingan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan PKR sentiasa mengamalkan semangat kerjasama tetapi parti itu tidak wajar diperkecil sewenang-wenangnya, malah sumbangan dan kewibawaannya sudah terbukti selama ini.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan berkata, partinya mungkin bertanding melawan PKR pada PRN Johor jika perundingan kerusi gagal mencapai kata sepakat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRN Johor adalah pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac manakala pembuangan undi pada 12 Mac.