PRN Johor: KPM bincang dengan SPR tidak guna kelas peperiksaan SPM

Iklan
Radzi ketika sidang media pada Pelancaran Yayasan Didik Negara di Auditorium Kompleks E pada Jumaat. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak menggunakan kelas yang dikhaskan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tempat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya akur dengan keperluan SPR untuk menggunakan 151 sekolah menengah sebagai pusat mengundi pada PRN Johor itu, namun penggunaannya harus diminimumkan agar tidak mengganggu perjalanan SPM yang berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini.

Iklan
Iklan

"Bilik-bilik ini telah disusun oleh pihak sekolah mengikut indeks nama murid serta angka giliran. Sebarang gangguan kepada susunan atau aturan boleh memberi implikasi besar kerana peperiksaan SPM kali ini tidak macam tahun-tahun sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Yayasan Didik Negara (YDN) di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, Ketua Pengarah Pendidikan Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid sudah berbincang dengan para pengetua sekolah terlibat semalam untuk memastikan proses peperiksaan SPM berjalan dengan baik ketika PRN Johor.

Iklan

SPR telah menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala hari penamaan calon pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pada 8 Mac.

Menurut Radzi, KPM juga akan memohon kepada SPR untuk mengecualikan guru-guru yang terlibat dengan SPM seperti pengawas, petugas peperiksaan atau pemeriksa kertas SPM, daripada bertugas sebagai petugas PRN Johor.

Iklan

"Ini merupakan tempoh yang amat penting bagi guru-guru untuk menumpukan sepenuhnya kepada pelaksanaan SPM.

"Bagi KPM, peperiksaan ini merupakan satu komponen yang cukup penting untuk ibu bapa dan anak-anak ini kerana kohort SPM 2021 yang paling terkesan dengan pendekatan kurikulum baharu. Anak-anak kohort ini tak pergi sekolah dua tahun, semasa mereka di Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima," katanya.

Radzi berkata pendirian KPM apabila PRN Johor diumumkan adalah supaya sekolah menengah tidak digunakan, namun menyedari SPR juga mempunyai kekangan tertentu dan ada akta yang membolehkan suruhanjaya itu menggunakan sekolah sekiranya perlu.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) SPM, Radzi berkata SOP yang sama seperti tahun lepas akan diguna pakai, antaranya calon positif Covid-19 tidak dibenarkan menduduki kertas pada hari berkenaan, sebaliknya mereka akan menjawab kertas peperiksaan pada tarikh lain yang ditetapkan KPM.

Selain itu, setiap sekolah yang menjadi pusat peperiksaan SPM juga ada menyediakan bilik alternatif yang berperanan sebagai bilik pengasingan awal sekiranya terdapat calon yang sedang menjawab kertas peperiksaan disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Calon yang menjadi kontak rapat pula perlu mengemukakan surat pengesahan daripada KKM yang menyatakan mereka perlu dikuarantin dan akan menduduki kertas peperiksaan pada tarikh lain, katanya.

Mengenai YDN Radzi berkata, yayasan itu berperanan sebagai badan rasmi yang bertanggungjawab untuk menggembleng sumbangan daripada pelbagai pihak, kemudian menyalurkan kepada pihak sekolah dengan lebih sistematik.

"Kadang-kadang ada sekolah telah menerima sumbangan, namun tidak maklumkan kepada KPM, jadi berlaku pertindihan sumbangan. Oleh itu, dengan adanya YDN kita boleh selaraskan, jika data menunjukkan sekolah itu sudah menerima sumbangan, maka sumbangan yang ada boleh diagih kepada sekolah lain," katanya.

Menurutnya, YDN telah menerima lebih RM20 juta sumbangan dalam bentuk tunai dan barangan sejak didaftarkan Julai lepas. - Bernama