Fitnah rosakkan ummah

Iklan
Khutbah Jumaat dengan tajuk ‘Fitnah Merosakkan Ummah’ disampaikan di seluruh masjid di Selangor pada Jumaat.

SHAH ALAM - Fitnah dengan memburuk-burukkan seseorang atau menjatuhkan pihak tertentu boleh menyebabkan masyarakat porak-peranda dan merosakkan ummah.

Perkara itu ditekankan menerusi khutbah Jumaat dengan tajuk ‘Fitnah Merosakkan Ummah’ yang disampaikan di seluruh masjid di Selangor pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurut teks khutbah berkenaan, sebaran fitnah, tuduhan palsu atau khabar angin pada masa kini bukan hanya disampaikan melalui pengucapan atau penulisan, sebaliknya menjadi mudah melalui perkembangan teknologi media massa.

Khutbah Jumaat itu menyatakan, kebebasan bersuara boleh diamalkan, namun tidak perlu memilih jalan memfitnah untuk menjatuhkan orang lain sehingga mendatangkan kesusahan kepada pelbagai pihak.

Iklan

"Hari ini kita mengambil sumber entah betul atau tidak. Kita menyebarkan berita entah tepat atau tidak. Malah, kita suka menyampaikan cerita entah sahih atau tidak.

"Seandainya perkara tersebut hanya rekaan tetapi kita telah berkongsi melalui media yang satu dunia mengetahuinya maka sempatkah kita memohon maaf kepada orang yang terkena fitnah dan bagaimana jika perkara itu berlaku kepada diri kita sendiri,” menurut teks khutbah Jumaat itu.

Iklan

Menurut khutbah itu, fitnah pula bukan hanya tertumpu kepada seseorang individu, namun dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti segelintir pemimpin sesebuah organisasi yang sanggup menabur pelbagai fitnah demi mencapai cita-cita dan kepentingan kumpulan mereka.

"Ada juga dalam kalangan ahli daripada parti politik sanggup mereka-reka fitnah dan menghasut rakyat dengan pelbagai tohmahan serta tuduhan palsu dengan matlamat untuk menjadi hero kepada rakyat.

"Pentadbir-pentadbir masjid dan surau juga tidak terlepas daripada hasutan iblis ini dengan menghasut dan mengadu domba untuk menjatuhkan puak tertentu dalam menguasai pentadbiran masjid dan surau.

"Bahkan, fitnah juga tidak terlepas dalam kalangan rakan sekerja yang sanggup memfitnah dan memburuk-burukkan rakan sendiri demi mendapatkan kedudukan dan pangkat,” menurut khutbah Jumaat tersebut.

Ia juga menyatakan fitnah lahir daripada hati seseorang yang sombong, bongkak, kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh.

"Sesungguhnya tabiat tuduh menuduh dan memfitnah itu membawa kepada kehancuran sesama sendiri dan langsung tidak mendatangkan sebarang manfaat.

"Berhati-hati terhadap setiap perkara yang kita tuturkan atau sebarkan kerana ia akan beri kesan besar kepada orang lain,” menurut khutbah Jumaat itu lagi.