Lori terbabas, muatan minyak masak terpakai tumpah

Iklan
Keadaan lori muatan minyak masak terpakai terlibat kemalangan di Lebuhraya PLUS petang Jumaat. - Foto PDRM

NILAI - Kesesakan sejauh kira-kira lima kilometer berlaku susulan kemalangan membabitkan sebuah lori muatan minyak masak terpakai terbabas di Kilometer 278.8, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dari Bandar Ainsdale ke Nilai pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kejadian pada jam 6.45 petang itu turut menyebabkan muatan minyak masak tumpah dan mengalir sehingga lorong keempat lebuh raya.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori berkenaan terbabas dipercayai akibat tayar belakang pecah.

"Kejadian berlaku di lorong kedua dari kanan. Pasukan bomba dan penyelamat sedang membersihkan laluan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, pemandu lori terbabit telah dibawa oleh orang awam ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan manakala kelindan lori iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun mengalami kecederaan ringan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59)," katanya.

Iklan