Segerakan Akta Pendanaan Politik sebelum PRU15

Iklan
Cynthia Gabriel

SHAH ALAM - Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan bagi memastikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung dalam keadaan bersih dan adil.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel berkata, akta tersebut juga akan memastikan kepercayaan rakyat kembali pulih sekali gus memastikan mereka akan keluar mengundi pada PRU akan datang.

Iklan
Iklan

"Isu dana politik ini menjadi faktor yang akan menentukan bagaimana pilihan raya itu berlangsung. Kita sebenarnya boleh belajar daripada pengalaman dengan ada pihak yang menyeleweng dana dan menggunakan wang tersebut untuk membiayai PRU yang lalu.

"Perkara seperti ini perlu dihentikan dan satu sistem atau akta perlu disegerakan agar kes yang sama tidak berlaku lagi pada PRU akan datang," katanya dalam rancangan Agenda Awani bertajuk Suburkan Demokrasi Malaysia pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, sudah banyak negara luar mempunyai akta tersebut dan Malaysia perlu mengikut jejak langkah itu bagi memastikan proses demokrasi di negara ini dapat disuburkan.

"Memang diakui semua parti politik memerlukan wang untuk jalankan aktiviti dan untuk menang pilihan raya. Ia bukan sesuatu yang dipersoalkan.

Iklan

"Namun, akta itu perlu ada bagi memastikan wujud mekanisme seperti jumlah derma maksimum yang boleh diterima selain yang paling penting melihat siapa yang memberikan dana tersebut. Kita tidak mahu ia datang daripada sumber yang tidak sepatutnya atau haram," katanya.

Beliau berkata, akta itu sudah pun didrafkan namun tidak ada 'political will' untuk memastikan ia boleh menjadi akta sebelum PRU15.

"Isu paling penting sekarang adalah political will itu bagaimana kita nak desak agar draf pendanaan politik ini boleh bergerak kehadapan untuk dibincangkan di Parlimen dan Dewan Negara," katanya.