Maloney kecewa Harimau Muda gagal manfaat peluang

Iklan
Brad Maloney - Foto Kredit Sportflex

PENGENDALI Harimau Muda, Brad Maloney mengakui kecewa apabila skuad Bawah 23 tahun negara kendaliannya gagal menterjemahkan beberapa peluang hingga menyaksikan pasukan tersebut berputih mata ketika berdepan Laos, 2-1 dalam aksi pembuka tirai Kejuaraan B-23 AFF 2022 pada Jumaat.

Malah menurut Maloney, beliau kecewa para pemainnya yang dilihat mampu menghasilkan lebih banyak jaringan selepas mendahului lawan seolah-olah hilang arah, terutamanya pada babak kedua menyaksikan anak buah Hans Michael Weiss kembali bangkit dalam aksi di Stadium Prince, Kemboja tersebut.

Iklan
Iklan

Katanya, skuad kendaliannya tersebut sepatutnya boleh menghasilkan lebih banyak jaringan berdasarkan kepada gaya permainan pada babak pertama sebelum itu yang menyaksikan dominasi barisan pemain mudanya.

"Para pemain seolah-olah seperti hilang punca pada separuh masa kedua, sekali gus memberi peluang kepada Laos untuk bangkit selepas ketinggalan pada babak pertama perlawanan.

Iklan

"Kami kehilangan arah pada separuh masa kedua selain melakukan beberapa kesilapan mudah di kawasan berbahaya terutamanya apabila kami melepaskan gol kedua.

"Kekalahan ini pastinya memberi pengajaran bermakna buat pasukan kita. Jika kita mahu mara ke separuh akhir, kita perlu dapatkan keputusan yang positif pada perlawanan seterusnya,” katanya pada sidang media secara maya pada Jumaat.

Iklan

Dalam perlawanan itu, Harimau Muda terlebih dulu membuka jaringan menerusi A Selvan pada minit ke-46 sebelum kapten pasukan Laos, Bounphachan Bounkong menyamakan kedudukan pada minit ke-55.

Gol itu ternyata menyuntik semangat para pemain Laos yang kemudian menjelmakan jaringan kedua hasil tandukan Phetdavanh Sangvilay yang menyudahkan hantaran sepakan percuma Bounphachan pada minit ke-78 sekali gus mengesahkan tiga mata milik Million Elephants tersebut.

Kedua-dua pasukan akan berentap sekali lagi pada Isnin ini dalam pemburuan slot ke separuh akhir, yang menyaksikan anak buah Maloney perlu mengatasi Laos dengan jumlah jaringan lebih besar.