TEMERLOH - Suasana bandar Mentakab di sini semakin hari semakin suram dan situasi tersebut kian ketara selepas banjir besar melanda bandar itu pada Disember lalu.
Tinjauan Sinar Harian pada Jumaat mendapati beberapa premis perniagaan telah ditutup sepenuhnya, malah jalan-jalan di bandar itu juga kelihatan lengang.
Situasi itu diakui peniaga yang menyifatkan bandar tersebut lesu sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
Bagi seorang peniaga kedai runcit, M.Kris, 49 memberitahu, situasi tersebut amat dirasai dan memberikan kesan buat mereka.
"Jumlah pelanggan pun semakin kurang, dulu bandar ini meriah dan aktiviti perniagaan rancak.
"Keadaan memang terjejas selepas banjir dan banyak juga premis perniagaan telah ditutup," katanya yang mengusahakan perniagaan keluarganya yang kini sudah lebih 25 tahun beroperasi di bandar itu.
Seorang peniaga barangan plastik yang hanya mahu dikenali Ah Meng, 70, mengakui suasana bandar itu berbeza berbanding dulu.
"Dulu bandar ini meriah, menjadi tumpuan dan aktiviti perniagaan rancak, sekarang sudah lain, saya lihat kali ini paling teruk," katanya yang sudah beroperasi sejak 1973 hingga kini.
Ia juga diakui peniaga runcit yang hanya mahu dikenali Swee, 66, mendakwa perniagaannya terjejas kerana jumlah pelanggan semakin berkurangan.
"Dulu pasar malam di Mentakab sangat meriah, ramai orang dan kedai saya juga menjadi tumpuan peniaga dan pengunjung.
"Sekarang, pasar malam pun sudah kurang meriah, jumlah peniaga dan pengunjung pun menurun menyebabkan premis saya terjejas," akuinya lagi.
Dalam pada itu, seorang peniaga kedai makan, Mariam Hassan,40 menyifatkan kekurangan tarikan antara faktor menjadikan bandar itu semakin lesu.
"Itu pun nasib baik ada beberapa premis terkenal dibuka di sini dan saya akui jika ia tidak beroperasi memang memberikan kesan kepada bandar ini," dakwanya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Jess Chey, 33 juga mengakui perbezaan lebih ketara selepas banjir selain faktor Covid-19.
"Sunyi dan auranya tidak seperti dulu bagi saya yang membesar dan bekerja di bandar Mentakab," tambahnya.