PASIR GUDANG - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) gagal memahami formula perkongsian kuasa seperti diamalkan Barisan Nasional (BN) sehingga rundingan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor buntu dan tidak berjaya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dua parti itu cuba meniru cara BN tetapi gagal menghayati konsep serta semangat perkongsian kuasa sekali gus koalasi antara Pakatan Harapan (PH) dan Muda itu disifatkan bercelaru dan gagal secara total.
Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, situasi yang berlaku ketika ini dalam PH terutama antara PKR dan Muda membuktikan mereka terus bertelagah sesama sendiri dan tiada persefahaman.
"Kalau kita lihat parti-parti sebelah sana macam Muda dan PKR, Muda bercakap (kritik bekas) wakil rakyat PKR di Ulu Tiram kemudian bergaduh mengenai (pembahagian) kerusi.
"Kemudian PKR bertelagah dengan DAP mengenai adanya parti seperti Muda yang baharu dan sebagainya. Macam mana mereka nak wujudkan sebuah kerajaan yang boleh bekerja sesama sendiri jika itu keadaannya.
"Bagi kita, BN sangat jelas bagaimana konsep perkongsian kuasa itu nak dilaksanakan, kita jelas berkenaan perkongsian kuasa melalui BN dan yang sebelah sana, mereka tidak pasti macam mana lagi, sebab itu hanya BN yang boleh membuktikan mampu membawa kestabilan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kemasukan kira-kira 50 bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Tasek 64 di Bilik Gerakan Jalan Tasek 21, Bandar Seri Alam di sini pada malam Jumaat.
Pada Jumaat Muda memaklumkan, tindakan PKR mengumumkan 20 calon mereka yang akan bertanding pada PRN Johor menjejaskan sekali gus menamatkan rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu.
Pada 14 Februari, Muda telah mencapai persetujuan dengan DAP dan Amanah untuk menjalin kerjasama politik dalam PRN Johor dengan kedua-dua parti komponen PH itu bersetuju menyerahkan enam kerusi DUN kepada Muda.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi BN Pasir Gudang berkata, BN bukan satu gabungan yang baharu tetapi sudah lama dan berpengalaman malah kewibawaannya sudah terbukti sebelum ini.
Justeru, beliau berharap semua pengundi dapat menerima agenda dibawa gabungan tersebut pada PRN kali ini iaitu mewujudkan kestabilan.
"Kestabilan itu hanya boleh dicapai melalui BN kerana dari segi pendekatan BN, kita menekankan soal integrasi bukan asimilasi dan juga berasaskan hubungan yang lama dan nilai-nilai yang kita pegang secara bersama," katanya.