GERGASI Bundesliga, Borussia Dortmund perlu segera memperbaiki bahagian pertahanan dan serangan menjelang aksi timbal balik kedua selepas diaibkan 4-2 Rangers dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Liga Europa di Signal Iduna Park.
Malah, pengendali Dortmund, Marco Rose menyifatkan kelemahan ketara kedua-dua bahagian itu menyaksikan Rangers menguasai rentak permainan menjadi penyumbang kepada kekalahan mengejut Dortmund di laman sendiri.
"Dua masalah yang perlu diselesaikan segera iaitu bahagian serangan dan pertahanan. Kami mempunyai terlalu sedikit gerakan untuk ke hadapan dalam separuh masa pertama, terlalu sedikit larian di belakang, malah tidak masuk ke kawasan yang kami mahu.
"Sejujurnya senario untuk perlawanan kedua di Ibrox adalah sukar. Kami tewas dengan dua gol di tempat sendiri. Tiada lagi peraturan gol di tempat lawan yang sebelum ini mungkin membantu kami.
"Membalikkan defisit dua gol di Ibrox adalah tugas yang sukar. Hari ini, kami tidak melaksanakan tugas dengan baik. Kami akan mempersiapkan diri segera dengan cara lebih baik dan merebut peluang yang masih ada,” katanya.
Aksi di Dortmund itu menyaksikan James Tavenier meletakkan pelawat di depan menerusi penalti minit ke-38 selepas bola terkena tangan Dan-Axel Zagadou, sebelum Alfredo Morelos yang tidak dikawal mudah melebarkan kedudukan kelab Scotland pada minit ke-41.
Empat minit selepas rehat, John Lundstram menambah gol ketiga Rangers selepas menyudahkan hantaran Ryan Kent, sebelum tuan rumah mengurangkan defisit menerusi Jude Bellingham pada minit ke-51.
Rangers melebarkan kembali jurang apabila Zagadou yang cuba mengeluarkan percubaan Morelos, tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-54, sebelum Pedro Guerreiro menjaringkan gol kedua Dortmund pada minit ke-82.