Biasiswa Sulung inisiatif UMP-KPT khas untuk pelajar B40

Iklan
Yuserrie menerangkan tentang Biasiswa Sulung inisiatif UMP-KPT kepada Ismail Sabri yang melawat reruai UMP pada program Jom Masuk IPT sempena Karnival KPT Keluarga Malaysia di MRSM Batu Pahat, Johor pada Jumaat.

KUANTAN - Anak pertama dalam keluarga golongan B40 yang ditawarkan mengikuti pengajian program diploma dan ijazah di Universiti Malaysia Pahang (UMP) berpeluang menerima biasiswa Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) di bawah Yayasan UMP.

Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, inisiatif itu selari dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memperkenalkan Program Sulung bagi membantu meningkatkan ekonomi mahasiswa daripada golongan B40.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia juga sebagai pencetus motivasi kepada ahli keluarga yang lain untuk meningkatkan prestasi dalam bidang akademik.

"Program Sulung ini akan memfokuskan terhadap usaha membantu pelajar B40 yang pertama dalam keluarga menjejakkan kaki ke menara gading.

Iklan

"Sebanyak RM100,000 ditawarkan sebagai dana permulaan biasiswa Sulung Yayasan UMP untuk pelajar yang layak," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dr Yuserrie berkata, pemberian biasiswa itu dijangka bermula semester akan datang.

Iklan

Sebelum itu, beliau menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melawat reruai UMP pada program Jom Masuk IPT sempena Karnival KPT Keluarga Malaysia yang berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, Johor pada Jumaat.

Turut serta, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Karnival KPT Keluarga Malaysia yang berlangsung mulai 17 hingga 19 Februari ini bertujuan untuk memberi maklumat dan nasihat akademik kepada pelajar sekolah sebagai persediaan melangkah ke menara gading.