PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) muncul juara Piala Sabah Maju Jaya (Piala SMJ) selepas menduduki tangga teratas daripada empat pasukan yang bertanding.
Meskipun terikat enam mata dengan pasukan TRW Kelantan FC dan Sabah FC, pasukan itu ditabalkan juara apabila mencatat perbezaan jaringan terbanyak iaitu tiga berbanding satu bagi kedua-dua pasukan terbabit.
Sementara itu, Sarawak United di tangga terbawah tanpa memungut sebarang mata.
Kejohanan secara ‘round robin’ itu berlangsung di Stadium Likas di sini bermula 12 Februari lalu dan berakhir Jumaat malam itu menyaksikan KDA FC tewas 0-1 kepada Sabah FC pada perlawanan terakhir.
Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, kejayaan meraih Piala SMJ itu adalah hasil kerjasama secara berpasukan dan akan menjadi satu motivasi kepada mereka dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.
"Apa yang penting, objektif kita tercapai dengan pemain yang baik, kecergasan pemain dan persiapan pemain (yang baik) dalam perlawanan pertama di Sabah.
"Kita nampak kelemahan dan kekurangan, dari situ kita akan baiki (permainan),” katanya kepada pemberita di sini selepas perlawanan Jumaat malam.
Aidil Sharin berkata, beliau amat berpuas hati dengan prestasi anak buahnya apabila menunjukkan corak permainan yang memuaskan walaupun terdapat beberapa kesilapan yang berlaku.
Katanya, dari sudut pertahanan KDA FC menunjukkan peningkatan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan namun perlu ditambah baik menjelang sepak mula Liga Super bulan depan. - Bernama