SHAH ALAM - Kaum Vaie kini telah diiktiraf sebagai salah satu kaum di Sarawak selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Tafsiran (Pindaan) 2022 pada Selasa.
Persatuan Anaq Vaie Bintulu (PAVB) dalam kenyataan pada Sabtu berkata, pengiktirafan itu membolehkan kaum Vaie sama taraf dengan bumiputera yang lain.
"Mereka tidak perlu lagi mengisi petak ‘lain-lain’ seperti amalan sebelum ini dan memudahkan sebarang bentuk urusan rasmi yang berkaitan.
"Ia juga penting dalam usaha memartabatkan bahasa, adat dan budaya serta hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan sebagai penduduk peribumi di Sarawak termasuk Hak Adat dan Tanah,” katanya.
Menurut kenyataan itu, RUU (Pindaan) 2022 tersebut amat bermakna terhadap kaum Vaie dan bertepatan dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa ucapan bahas Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 Keluarga Malaysia.
Jelasnya, ia merangkumi Bumiputera Wilayah Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai etnik, ‘Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’ memberi roh dan semangat untuk terus memperkasa jati diri, adat dan budaya sebagai salah satu kaum di Sarawak.
"Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi PAVB menyanjung tinggi usaha kumpulan atau individu yang selama ini bertungkus lumus memperkenalkan kaum Vaie melalui simposium, seminar, dialog artikel dan aktiviti kebudayaan,” katanya.
Sebelum ini, RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 diluluskan selepas bacaan kali ketiga di DUN Sarawak yang memasukkan 12 kaum dalam cadangan pindaan itu pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama DUN Sarawak Ke-19 yang berlangsung pada 14 hingga 16 Februari 2022.