Pemain perlu yakin capai sasaran di Piala Thomas: Zii Jia

Iklan
Zii Jia

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia berpendapat bahawa, beliau dan rakan sepasukannya perlu yakin dengan kemampuan diri sendiri untuk mencapai sasaran mara ke final Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand Mei ini.

Juara All-England 2021 itu berkata, skuad yang disenaraikan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang sedang berlangsung di Setia Alam di sini adalah pasukan terbaik yang dimiliki buat masa ini.

Iklan
Iklan

"Saya rasa ini ini pasukan terbaik kita ada, terutamanya saya rasa semua pemain muda dan ada yang mempunyai pengalaman bermain beberapa kali. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pun telah menetapkan sasaran final, jadi kena yakinlah,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Ditanya jika pemain profesional seperti Ong Yew Sin-Teo Ee Yi perlu dipanggil ke dalam skuad Piala Thomas nanti, pemain ranking ketujuh dunia itu umum keluar daripada BAM bulan lepas berkata, keputusan itu perlu diambil kira oleh barisan kejurulatihan.

Iklan

"Jika boleh memperkuatkan pasukan, kenapa tidak? Saya rasa BAM pun terbuka dalam perkara ini, jadi sesiapa yang layak, pasti akan dipanggil,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi pada tahun ini, terutamanya selepas mengharungi dua aksi di peringkat Kumpulan B BATC, Zii Jia berkata, walaupun belum berada pada tahap terbaik, tetapi beliau menunjukkan peningkatan berbanding aksi tidak konsisten pada hujung tahun lepas.

Iklan

Menurutnya, apa yang penting kini, beliau dapat menangani tekanan dengan lebih baik semasa berada dalam gelanggang, sekali gus yakin akan lebih konsisten dari aspek prestasi semasa siri kejohanan di Eropah pada Mac, yang berbaki hanya dua minggu untuk beliau membuat persiapan.

"Tekanan itu memang ada, sebelum ini saya kejar pemain lain (ketika muda), tekanan buat mereka, saya hanya lawan. Tetapi tekanan kepada saya sekarang (kerana dikejar pemain muda), jadi saya rasa kalau nak jadi pemain baik, kena tahu kawal tekanan,” katanya.

Pada BATC kali ini, Zii Jia mempamerkan prestasi cemerlang untuk membenam juara dunia Loh Kean Yew 21-6, 21-14 pada Rabu, namun terpaksa ‘bermandi peluh’ untuk mengatasi pemain ranking ke-343 dunia Riku Hanato 15-21, 21-6, 21-15 pada Jumaat untuk membantu Malaysia menewaskan Singapura 5-0 dan skuad muda Jepun 3-2.

Siri kejohanan di Eropah akan bermula dengan Terbuka Jerman bermula 8-13 Mac, diikuti All England (16-20 Mac), Terbuka Swizterland (23-27 Mac) sebelum beralih ke Asia dengan Terbuka Korea pada April. - Bernama