KUALA LUMPUR - Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diharap dapat menangani isu pengangguran dengan lebih berstruktur dan menyeluruh.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, karnival berkenaan dilaksanakan bagi menyediakan peluang pekerjaan secara langsung kepada orang ramai.
"KSM akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan ketersediaan dan kebolehpasaran bakat melalui pelbagai platform,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu.
Majlis dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Saravanan berkata, Insentif Penggajian Jamin Kerja yang akan dilaksanakan oleh Perkeso itu menyasarkan untuk menyediakan pekerjaan kepada 300,000 individu, selepas 221,966 individu berjaya mendapat pekerjaan menerusi insentif berkenaan tahun lepas.
Menerusi platform MYFutureJobs pula, antara golongan sasar termasuk pekerja yang kehilangan pekerjaan, individu menganggur, golongan mudah terjejas termasuk warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), bekas banduan, veteran askar, orang asli, siswazah menganggur, golongan wanita serta individu di dalam sektor pelancongan.
Selain itu platform Upskill Malaysia yang merupakan sebuah platform ‘single window’ kebangsaan berfungsi sebagai penyedia maklumat berkaitan program latihan dan pembangunan kemahiran untuk warganegara yang ditawarkan oleh kerajaan.
"Sehingga hari ini 18 Agensi merangkumi 10 kementerian bekerjasama untuk menjayakan inisiatif ini,” katanya.
Saravanan berkata, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia pada November tahun lalu kadar pengangguran negara mencatatkan penurunan 4.3 peratus atau 694,400 berbanding 705,000 orang yang dicatatkan pada Oktober tahun sama. - Bernama