Gerai jual minyak masak peket jadi tumpuan pengguna

Iklan
Orang ramai beratur untuk membeli manyak masak peket di PJKM Durian Tunggal, di sini, pada Sabtu.

ALOR GAJAH - Gerai menjual minyak masak peket pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Durian Tunggal di sini, pada Sabtu, menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan bekalan tersebut.

Biarpun bekalan minyak bersubsidi itu dihadkan pembelian dua peket bagi setiap individu, namun jelas pengunjung berpuas hati sekali gus melegakan mereka yang mempunyai bilangan keluarga ramai tetapi sukar untuk mendapatkan bekalan tersebut.

Iklan
Iklan

Samsudin Abu Chik, 60, dari Kampung Gangsa berkata, dia sentiasa mencari minyak masak peket kerana lebih murah berbanding minyak lain lebih-lebih lagi mempunyai ahli keluarga yang ramai.

"Walaupun anak tak tinggal serumah dengan saya, namun mereka duduk bersebelahan dan berdekatan rumah.

Iklan

"Isteri akan masak makanan dalam kuantiti banyak, pasti penggunaan minyak masak juga meningkat, jadi kalau ada bekalan minyak masak peket memang kami tidak melepaskan peluang untuk membeli sebab susah nak dapat," katanya ketika ditemui di PJKM Durian Tunggal.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norena Jaafar.

Iklan

Suri rumah, Norliza Mohd Isa,38, mengakui sukar untuk mencari minyak masak peket dan bernasib baik ia dijual pada program itu.

Zahari (dua dari kiri) dan Hee Sem (tiga dari kanan) melihat minyak masak peket yang dijual pemborong kepada pengunjung PJKM di Durian Tunggal, di sini, pada Sabtu.

"Kadang-kadang pertengahan dan awal bulan kebiasaannya memang susah nak dapatkan minyak masak jenis ini.

"Kalau boleh dianjurkan lebih kerap program jualan di kawasan Durian Tunggal kerana membantu orang ramai mendapatkan bekalan asas dengan mudah dan jimat," katanya.

Bagi Noor Ain Mahat,37, dari Padang Keladi, berkata, bukan sahaja bekalan minyak mudah dibeli, malah barang jualan lain seperti sayur-sayuran dan ikan juga lebih murah berbanding dari tempat lain.

Menurutnya, usaha ini sekurang-kurangnya membantu orang ramai terutama golongan B40 untuk membeli barangan dapur dengan harga murah dan berbaloi.

"Pertama kali saya dan suami pergi ke Program Jualan Keluarga Malaysia dan puas hati dapat beli banyak barang basah.

"Untuk semua barang saya berbelanja tak sampai RM50 pun, kalau saya pergi ke kedai atau pasar raya dengan membeli barangan yang sama pasti melebihi RM50," katanya.

Sementara itu, Hee Sem, berkata hanya di PJKM pemborong minyak masak peket dibenarkan untuk menjual terus bekalan itu kepada pengguna.

Menurutnya, sewajarnya orang ramai mengambil peluang dan kesempatan membeli barang keperluan asas dengan harga berpatutan sepanjang dua hari program itu berlangsung.

"Kesemua barang-barang yang dijual dan ditawarkan adalah lebih murah kira-kira 30 peratus dari harga pasaran.

"Dari awal pagi saya lihat orang ramai telah datang, selain minyak masak mereka juga berpeluang membeli ayam dan telur ayam pada Ahad (esok)," katanya.

Antara lokasi lain PJKM di negeri ini termasuk tempat letak kereta Stadium Jasin, tapak berhadapan Sekolah Kebangsaan Telok Mas, tapak pasar malam Bertam Jaya, Dataran Mat Riau Bukit Baru dan Kompleks Japerun Rembia.