KOTA TINGGI - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menggiatkan usaha bagi memastikan sasaran 70 peratus rakyat keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan, tercapai.
Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, KKMM melalui pelbagai agensinya akan melaksanakan kempen kesedaran mengenai kepentingan mengundi termasuk menerusi media sosial.
"KKMM akan mengadakan kempen berhubung perkara ini melalui internet, (aplikasi) WhatsApp dan sebagainya. Di samping itu, melalui Jabatan Penerangan kita ada program ‘Info on Wheels’ yang akan minta orang ramai mengundi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Santai Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Felda Bukit Besar pada Sabtu.
SPR menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian, dengan penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.
Sebelum itu, Zahidi turut mengedarkan 300 set dekoder MYTV kepada penduduk Kampung Felda Bukit Besar, dan menurutnya, 2.3 juta set dekoder itu telah diedarkan kepada penduduk di seluruh negara bagi tempoh 2017 hingga 2019.
"Ini termasuk 244,786 set dekoder MYTV diedarkan di Johor yang melibatkan 14,631 set di Parlimen Tenggara (bagi tempoh sama),” katanya. - Bernama