Pengundi muda penentu masa depan Johor

Iklan
Fahmi Bazlan

SHAH ALAM - Pengundi muda berjumlah 30 peratus dari jumlah pengundi di Johor bakal menjadi ‘king maker’ atau penentu kemenangan kepada parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Yang Dipertua Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Bahagian Shah Alam, Fahmi Bazlan sehubungan itu menyarankan agar mereka tidak mensia-siakan peluang untuk membuat perubahan yang besar.

Iklan
Iklan

"Sejarah menunjukkan kuasa anak muda mampu membuat perubahan besar dalam landskap dunia, mahu pun negara dan kini sejarah bakal berulang lagi.

"Kira-kira 30 peratus pengundi PRN Johor kali ini adalah golongan muda iaitu yang berumur 18 hingga 21 tahun, dengan kata lain, mereka adalah 'king maker'.

Iklan

"Jangan sia-siakan undi anda. Keputusan di tangan anda," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Kerajaan sebelum ini meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilakukan.

Iklan

PRN Johor menjadi pentas pertama buat golongan muda untuk menyuarakan hasrat mereka menerusi platform Undi 18 sekali gus menjadi sebahagian penentu masa depan negeri itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut SPR, di Johor terdapat hampir 2.59 juta pengundi berdaftar merangkumi 2.57 juta pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan mereka, 11,576 anggota polis bersama pasangan dan 376 pengundi luar negara.

Jumlah pengundi untuk PRN Johor meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).