KOTA BHARU - Tidak pernah mendapat pendidikan secara formal dalam bidang seni lukis bukan halangan buat seorang bekas guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) berkarya menerusi lukisan mural sekali gus memberikan pendapatan yang lumayan.
Mohamad Asmadi Mat Yasin, 39, berkata, bakat atau dalam dialek Kelantan biasa disebutkan ‘patat siput’ yang dimilikinya itu diwarisi daripada nenek moyangnya yang sudah lama berkecimpung dalam industri penghasilan batik dan songket warisan sejak tahun 80-an di negeri Cik Siti Wan Kembang.
Menurutnya, bakat seninya disedari gurunya semasa dia bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas di sini sebelum mendapat tawaran projek lukisan mural di Sekolah Kebangsaan Parang Puting, di sini pada usia 15 tahun atau di Tingkatan Tiga.
"Masa itu saya menerima upah RM300 daripada hasil lukisan mural di SK Parang dan selepas itu terus meminati bidang ini sekali gus mengambil keputusan berhenti daripada mengajar KAFA sejak tahun 2000 lalu demi mengejar kepuasan dalam menghasilkan pelbagai karya.
"Saya tidak pernah menerima pendidikan formal dalam bidang lukisan dan hanya belajar melalui pengalaman setiap kali menghasilkan lukisan pada setiap sesebuah mural,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia yang pernah terbabit dalam pembikinan animasi ‘Anak-anak Sidek’ itu mengakui lukisan mural bermotifkan budaya dan potret antara yang mencabar kemahirannya ditambah dengan teknik tiga dimensi serta ketinggian dinding bangunan yang perlu dilukis.
"Lukisan potret terutamanya memerlukan banyak perincian bagi menghasilkan yang iras atau sama dengan wajah sebenar dan untuk menghasilkan lukisan mural yang tahan lama serta tidak berkulat, saya menggunakan cat getah.
"Tempoh untuk menyiapkan satu-satu lukisan mengambil masa sehari sehingga dua bulan manakala upah yang pernah diterima antara RM300 sehingga RM200,000 bagi setiap projek mural bergantung kepada keluasan kawasan yang perlu dilukis,” katanya yang pernah melukis pada dinding sebuah hotel lima tingkat di tengah-tengah bandar di sini.
Ujarnya, melukis memberikannya lebih kepuasan dan banyak masa dapat diluangkan bersama keluarga selain dapat mengunjungi banyak tempat bagi memenuhi tempahan mural termasuk di lokasi-lokasi pelancongan di negeri ini termasuk di Terengganu, Kuala Lumpur mahupun Johor.
"Sebelum ini, 15 tahun saya mengajar sebagai guru KAFA dan sekarang masih lagi boleh membuka kelas al-Quran pada waktu malam selepas selesai kerja melukis pada waktu siang,” ujarnya.