Kaji semula SOP PRN Johor: Wan Saiful

Iklan
Wan Saiful ketika berucap sebelum melancarkan Jentera PN Ledang di perkarangan Pejabat Operasi DUN Gambir, Pusat Perdagangan Bukit Gambir, Tangkak, pada malam Sabtu.

TANGKAK - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana ia disifatkan berat sebelah, tidak praktikal dan menyusahkan rakyat.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, SOP itu perlu fleksibel dan sekiranya boleh ia dilonggarkan sedikit bagi memberi lebih ruang kepada parti politik untuk berkempen.

Iklan
Iklan

"SOP yang baharu dikeluarkan untuk PRN Johor beri banyak kekurangan kepada kita, contohnya hanya 100 orang dibenarkan dalam satu majlis dan program perlu habis sebelum jam 10 malam.

"Ini adalah pentas PRN yang tidak adil dan memang menyusahkan. Sepatutnya program boleh dibuat dengan jumlah yang ramai tetapi mengikut SOP dengan melakukan penjarakan dan mematuhi semua peraturan ditetapkan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan Jentera Perikatan Nasional (PN) Ledang di perkarangan Pejabat Operasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Pusat Perdagangan Bukit Gambir di sini pada malam Sabtu.

Pada Jumaat, SPR memaklumkan penganjuran ceramah secara fizikal dan kempen ziarah rumah ke rumah dibolehkan semasa PRN Johor namun hanya dibenarkan diadakan di pejabat dan bilik gerakan parti serta tidak lebih 100 orang termasuk penganjur, urusetia, penceramah dan peserta.

Iklan

Penganjur juga perlu mendapatkan permit daripada polis sebelum ceramah diadakan dan tempoh setiap sesi ceramah hanya dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, tempoh masa yang diberikan untuk ceramah tidak cukup bagi parti-parti politik menyampaikan ceramah dan mesej mereka kepada lebih ramai rakyat dan peraturan ditetapkan itu didakwa jelas berat sebelah.

Katanya, SOP untuk PRN Johor itu dilihat seakan-akan menyekat gelombang kebangkitan rakyat yang mahu melihat dan mendengar ceramah disampaikan sekali gus memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Semasa pelancaran jentera PN di Felda Tenggaroh 3, Mersing pada Rabu lebih 2,000 yang datang manakala pelancaran jentera PH di Kota Tinggi pada Jumaat lebih 5,000 yang datang. SOP ini seakan mahu menghalang gelombang kebangkitan rakyat.

"Kita perlukan masa, ruang dan peluang untuk sampaikan maklumat kepada rakyat supaya pentas PRN jadi adil. Jadi dengan SOP ini banyak perkara yang perlu ditimbangkan semula," katanya.

Menurutnya, SOP tersebut menguntungkan UMNO dan BN sekali gus perkembangan tersebut dilihat tidak sihat untuk proses demokrasi yang telus.