Imbau nostalgia berbasikal ke sekolah

Iklan
Mazlan (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Jefri ketika Majlis Pelepasan Kayuhan Back To School di Taman DR Seenivasagam, di sini pada Ahad.

IPOH - Demi mengimbau nostalgia berbasikal ke sekolah, sekumpulan pemilik basikal BMX mengadakan Kayuhan Kembali ke Sekolah dengan berkonvoi singgah ke beberapa sekolah di sekitar bandar raya Ipoh, di sini pada Ahad.

Program yang disertai seramai kira-kira 40 orang daripada Geng OS BMX Ipoh itu turut memakai pakaian seragam sekolah bagi mengimbau kenangan tersebut.

Iklan
Iklan

Penganjur program, Jefri Zain Mohd Yusoff berkata, program tersebut merupakan julung kali diadakan bersama Geng OS BMX Ipoh dan menerima penyertaan menggalakkan.

Menurutnya, bukan sahaja penyertaan di sekitar Ipoh dan Perak malah ada juga yang sanggup datang dari Kuala Lumpur serta Pulau Pinang untuk merasai kemeriahan program kayuhan tersebut.

Iklan

"Kita sebenarnya sekadar nak mengembalikan kenangan zaman sekolah dahulu yang masing-masing naik basikal ke sekolah. Kita pilih beberapa lokasi persinggahan di sekitar Ipoh ini melibatkan sekolah dan tempat tumpuan ramai.

"Penyertaan yang kita terima amat baik walaupun pertama kali kita adakan dengan berpakaian seragam sekolah. Mungkin kita akan cadangkan program yang sama dengan Kelab BMX Malaysia," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Kayuhan Back To School di Taman DR Seenivasagam, di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama menyempurnakan pelepasan tersebut, Ketua Whip Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman.

Sementara itu, seorang peserta, Nurul Salamiah Mohd Salleh, 35, berkata, program tersebut benar-benar mengimbau kenangan ketika zaman persekolahan pada era 90-an dengan menaiki basikal.

Katanya, pada zaman itu tidak ramai yang mempunyai kenderaan bermotor untuk ke sekolah dan pilihan mereka adalah berbasikal bersama rakan-rakan.

"Memang program ini betul-betul mengimbau kenangan zaman sekolah dahulu. Dahulu dari rumah ke sekolah, memang kita naik basikal sebab itu kenderaan yang mudah.

"Sekarang ini mungkin ada yang pergi sekolah naik basikal tapi dah tak ramai macam dulu. Bagi saya program ini amat menarik dan seronok bagi orang macam kami," katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, program seumpama itu bukan sahaja mengimbau kenangan lalu, tetapi turut membantu mempromosikan bandar raya Ipoh.

Menurutnya, keunikan program ini menarik minat pelancong untuk datang melihat sendiri keunikan bandar raya ini dan tempat-tempat menarik yang ada.

Kayuhan yang bermula jam 8 pagi di Taman DR Seenivasagam itu singgah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Perpustakaan Tun Razak, SMK St Michael, SMK Methodist (ACS) Ipoh, Memory Lane dan berakhir di Dataran MBI, di sini.