MERSING - Lapan pemancing ditemukan selamat selepas bot dinaiki mereka karam di kawasan beting berhampiran Pulau Seri Buat dan Pulau Tasu dekat sini pada malam Sabtu.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan daripada seorang mangsa memaklumkan bot mereka karam pada jam 9.35 malam.
"Kesemua lapan mangsa lelaki tempatan berumur antara 27 hingga 56 tahun itu memaklumkan, mereka berpaut pada bot dan memakai jaket keselamatan sementara menanti bantuan tiba.
"Operasi Carilamat telah diaktifkan pada jam 9.50 malam melibatkan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin bersama-sama komuniti nelayan setempat.
"Sekitar jam 11.20 malam, semua lapan mangsa berjaya ditemui sebuah bot fiber yang melalui kawasan kejadian sebelum diselamatkan dan dibawa ke Jeti Awam Penyabong pada jam 11.50 malam," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, punca kejadian dipercayai berlaku akibat kebocoran pada ekzos bot dan menyebabkan air masuk ke dalam bot sehingga luar kawalan.
MRSC Johor Bahru katanya, merakamkan penghargaan atas bantuan agensi-agensi dan komuniti nelayan setempat dalam operasi Carilamat itu.
"Kegunaan jaket keselamatan terbukti menjadi alat bantuan keselamatan yang mampu menyelamatkan nyawa di laut sekiranya berlaku kecemasan," katanya.