LANGKAWI - Pasangan kekasih berjaya ditahan polis selepas memecut dan memandu secara melawan arus sebelum kenderaan itu terbabas ke dalam parit di Jalan Padang Matsirat, pada petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam kejadian yang berlaku sekitar 7.00 petang itu, sepasukan anggota polis terserempak dengan sebuah kereta Toyota Avanza berwarna perak di tepi jalan berhampiran Pusat Perdagangan Kelana Mas dalam keadaan mencurigakan disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, menyedari kehadiran pasukan polis, suspek bertindak memecut dan telah melanggar beberapa kenderaan ketika cuba melarikan diri.
"Kenderaan suspek seterusnya menghala ke Jalan Padang Matsirat namun kenderaan peronda polis MPV terus mengejar sehingga kenderaan yang dipandu suspek bertindak melawan arus sebelum terbabas ke dalam parit di tepi jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Ahad.
Shariman memaklumkan, suspek lelaki berusia 42 tahun dan teman wanitanya berusia 34 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
"Hasil pemeriksaan awal, pihak polis tidak menjumpai apa-apa barang salah pada suspek. Namun ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu dikesan oleh pasukan dari Bahagian Narkotik daerah Langkawi dibantu Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan menerusi Ops Tapis.
"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi.
Sejak malam Sabtu, tular rakaman video berdurasi enam saat menunjukkan sebuah kereta terbabas ke dalam parit selepas dikejar kenderaan MPV polis.