SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan kompaun berjumlah RM16,000 terhadap dua premis yang gagal menguruskan sisa dengan baik di kawasan perindustrian Petaling Jaya dan Sepang pada Sabtu.
JAS menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan tindakan tersebut diambil ketika pasukan penguat kuasa JAS Selangor menjalankan rondaan dan siasatan aduan di sekitar kawasan perindustrian di Gombak, Petaling Jaya, Sepang dan Johan Setia.
Menurut hantaran tersebut, sebuah premis yang menghasilkan produk kesihatan di Petaling Jaya dikenakan empat kompaun akibat loji rawatan air sisa beroperasi tanpa pengawasan Orang Yang Berwibawa (competent person).
"Kompaun turut diberikan atas kesalahan tidak melabelkan bekas buangan terjadual dengan tanda pengenalan yang ditetapkan.
"Sebuah lagi premis di Sepang dikenakan empat kompaun akibat gagal menguruskan buangan terjadual dengan baik,” katanya pada Ahad.
Dalam pada itu, JAS Selangor turut menyiasat aktiviti pembakaran terbuka di Bukit Kemuning, di sini dan mendapati terdapat kesan kabel getah terbakar di kawasan perumahan terbabit.
Ujarnya, tindakan amaran dan ‘field citation’ dikeluarkan kepada pelaku.
"Seterusnya, siasatan turut dijalankan ke atas pembakaran terbuka sampah haram di Jalan Bukit Kemuning, di sini dan mendapati terdapat pembakaran terbuka sisa-sisa sampah yang dibakar di atas tanah lapang.
"Pihak bomba dihubungi untuk membantu pemadaman dan siasatan lanjut akan dijalankan setelah mendapat maklumat pemilikan tanah,” katanya.