ALOR SETAR - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diingatkan jangan terlalu selektif, sebaliknya diminta merasai terlebih dahulu perit perjuangan berpolitik dan bukan semata-mata gopoh mahu menjadi wakil rakyat.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Aizuddin Ariffin berkata, sayap Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kesal apabila Muda mula mempamerkan wajah sebenar dengan menolak kesemua kerusi ditawarkan PKR, yang dikategorikan bukan kerusi empuk di luar bandar yang mana majoriti pengundi adalah orang Melayu.
Menurutnya, sikap Muda itu dibimbangi akan menjadi beban kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
"Sikap angkuh, gelojoh, pandai mengugut atau 'play victim', hanya akan menjauhkan rakyat daripada menyokong PH.
"Kita sudah belajar daripada beberapa siri keangkuhan pimpinan dalam PH yang tidak faham akan denyut nadi rakyat. Akhirnya rakyat menolak dan kepercayaan mereka mula terhakis, seolah kita lupa pangkat dan kuasa boleh lenyap sekelip mata,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Aizuddin berkata, untuk mendepani PRN Johor, PH bersama Muda sepatutnya sudah mula mengorak langkah mengetengahkan isu rakyat yang perlu diangkat.
"Sebagai contoh, beberapa perkara yang diketengahkan Ketua AMK, Akmal Nasir semasa peluncuran jentera pilihan raya bagi PRN Johor, menyentuh soal kenaikan harga barang, kemiskinan, petani lokal, mahasiswa serta cabaran anak muda ceburi ekonomi gig.
"Bukannya, sesama kita masih berterusan dibebani dengan permainan politik yang memualkan seperti sekarang,” katanya.
Menurutnya, polemik yang dimainkan Muda yang sengaja mencipta persepsi atau naratif negatif akan menyebabkan rakyat menolak PH.
"Berdasarkan suara akar umbi selain mendengar pandangan rakyat, kebanyakan menyebut UMNO/Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) bukan kuat sangat, tetapi persepakatan pembangkang yang tidak kuat. Persepsi ini akan menghakis keyakinan rakyat kepada pembangkang,” ujarnya lagi.
Aizuddin berkata, perkara itu tidak seharusnya dibiarkan berlarutan melainkan PH sudah bersedia menerima Muda yang sebenarnya menjadi liabiliti kepada pembangkang.
"Saya sebenarnya tidak gemar untuk kritik parti kawan atas semangat muafakat setiakawan.
"Namun saya berasa tidak selesa dengan sikap Muda bawah pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang gagal beri kata putus sehingga mengheret beberapa siri rundingan berkaitan tiga kerusi ditawarkan PKR bagi menghadapi PRN Johor, 12 Mac depan,” katanya.
Menurutnya lagi, berbanding rundingan Muda bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, perjanjian persefahaman dimeterai dengan pantas.
Sebelum ini, beberapa pimpinan AMK turut mengkritik pendekatan Muda, termasuk Ketua AMK Johor, R Yuneswaran yang menempelak tindakan parti itu yang dilihat terlalu memilih dalam isu pembahagian kerusi pada PRN Johor.
Sementara, Naib Ketua AMK, Thiban Subramaniam turut mengingatkan Muda agar merasai perit perjuangan dan bukan semata-mata untuk menjadi Yang Berhormat.