Polis siasat dakwaan lumba haram

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai tiga termasuk wanita dan bayinya yang terkeluar dari kandungan maut dalam nahas membabitkan dua motosikal di Kampung Banggol Stol, Repek di sini pada Jumaat.

KOTA BHARU - Polis Kelantan menyiasat aduan saksi berkaitan pembabitan aktiviti lumba haram hingga menyebabkan berlaku kemalangan maut yang meragut nyawa seorang ibu hamil dengan bayi dalam kandungan ‘terkeluar’ melalui salur peranakan pada nahas tragis di Pasir Mas Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, berdasarkan keterangan saksi terdapat sekumpulan remaja berlumba motosikal sebelum kemalangan.

Iklan
Iklan

"Saksi di tempat kejadian tampil mengatakan bahawa ada sekumpulan remaja yang berlumba termasuk dua motosikal lain daripada kumpulan itu melarikan diri selepas kemalangan berlaku.

"Motosikal yang ditunggang remaja berusia 18 tahun dalam keadaan laju itu bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa hingga bayi dalam kandunganya terkeluar menerusi salur peranakan akibat hentakan kuat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kejohanan Karnival Sukan Piala Ketua Polis Negara di Dewan Sri Sebelas Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) PGA Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.

Iklan

Acara penutup dilakukan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan bayi lelaki yang terkeluar daripada kandungan ibunya selepas terbabit nahas dua motosikal di Kampung Lumpur, Pasir Mas meninggal dunia selepas lima jam bertarung nyawa akibat kemalangan jam 7 malam itu.

Iklan

Ibu empat anak terbabit, Nur Hasliza Yazaib, 25, maut di lokasi kejadian manakala remaja berkenaan pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM).

Anak kedua mangsa, Nurul Iman Maisara, 6, cedera parah di kepala dan ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan.

Ujar Shafien, remaja terbabit sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Mac depan namun turut meninggal dunia akibat tercampak ke kawasan bendang dalam kemalangan ketika menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR milik abang rakannya itu.

"Polis mengalu-alukan saksi lain untuk tampil bagi melengkapkan siasatan terutama terhadap dua penunggang yang dikatakan melarikan diri.

"Pada masa sama, polis meneruskan pemantauan di lokasi-lokasi lumba haram yang dikenalpasti di seluruh daerah di negeri ini termasuk tumpuan di Kota Bharu biarpun kejadian kemalangan itu bukan di lokasi panas perlumbaan haram,” katanya.

Dalam perkembangan acara sukan berkenaan, katanya, disertai 250 anggota dan pegawai daripada 12 kontinjen di seluruh negara.

"Acara yang dipertandingkan adalah sukan dart, catur, karom dan e-Sports dengan perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.