UMNO perlu sesuaikan diri dengan perubahan semasa

Iklan
Bung Moktar - Foto Bernama

KOTA KINABALU- UMNO perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan semasa bagi memastikan parti itu terus relevan mendepani sebarang cabaran, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata UMNO tidak boleh lagi bersandar kepada sejarah kejayaan dikecapi sejak penubuhannya 75 tahun lepas di negara ini dan 31 tahun di Sabah semata-mata sebaliknya perlu membuat perubahan supaya parti itu tetap menjadi pilihan rakyat.

Iklan
Iklan

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata perubahan zaman membawa pelbagai cabaran baharu yang turut akan menguji segala dasar dan kaedah parti itu untuk mendepaninya.

"Pada akhirnya, rakyat yang akan menentukan masa depan UMNO memandangkan UMNO sebagai sebuah parti yang mengamalkan sistem demokrasi.

Iklan

"Bagaimanapun, kita mesti menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran kerana sehebat mana pun kita, jika tidak mahu melakukan perubahan, kedudukan parti ini akan tergugat,” katanya dalam perutusan sempena 31 Tahun UMNO bertapak di Sabah yang akan disambut esok.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata meskipun banyak kebaikan dilakukan UMNO dan BN namun cabaran ketika ini amat berbeza kerana rakyat sedang berdepan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

"Rakyat mahu kerajaan yang dapat membantu mereka yang kini hidup terhimpit,” katanya.

Iklan

Menurut Bung Moktar, UMNO telah berjaya melalui pelbagai ujian sepanjang 75 tahun kerana berpegang kepada formula membela nasib rakyat dan bukan hanya berjuang untuk ahli parti semata-mata.

Dalam konteks Sabah, Bung Moktar berkata banyak cabaran telah dilalui UMNO sebaik sahaja melebarkan sayap ke negeri itu pada 1991 namun peristiwa paling memberi kesan adalah ketika BN kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sehingga wujud pelbagai tohmahan dan ada yang meninggalkan parti.

"Kita melihat ujian ini secara positif. Alhamdulillah, kita masih memiliki pemimpin dan ahli berprinsip dan setia kepada perjuangan parti yang menjadikan UMNO Sabah lebih matang, kukuh dan berpengalaman menghadapi cabaran. Sehingga kini, tidak ada satu bahagian UMNO Sabah dibubarkan," katanya. - Bernama