SHAH ALAM - Mekanisme semak imbang serta aktiviti audit yang kerap dan berkesan perlu diwujudkan di semua peringkat organisasi bagi mengurangkan peluang terlibat dengan gejala rasuah.
Timbalan Pengerusi, Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Dr Muhamad Azrin Omar @ Nawi berkata, tindakan tersebut bertujuan memastikan kebajikan rakyat dijaga, terutamanya kakitangan awam dan agensi yang terlibat di dalam bidang penguatkuasaan.
"Sistem politik kepartian juga perlukan reformasi, contohnya pembiayaan pilihan raya perlu diubah supaya parti politik tidak terperangkap dan menjadi seolah-olah terhutang budi dengan pihak yang memberikan biaya, yang ‘hutang’ itu perlu dibayar apabila ahli politik tersebut mendapat kuasa.
"Tindakan siasatan dan hukuman ke atas mereka yang terlibat dengan rasuah juga tidak boleh dilihat berat sebelah atau memilih bulu.
"Pendek kata, perubahan yang menyeluruh diperlukan bagi mengubah sistem nilai, persepsi dan sensitiviti masyarakat terhadap rasuah, meliputi pemimpin, pihak berkuasa dan rakyat kebanyakan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Azrin berpandangan bahawa konsep ‘fraud triangle’ merumuskan dengan baik mengapa berlakunya rasuah dalam sesebuah negara.
Menurutnya, walaupun ia biasa digunakan untuk menjelaskan penyelewengan individu melibatkan kewangan, tetapi ia juga merupakan faktor sama dalam menjelaskan punca rasuah.
Jelasnya, rasuah berlaku apabila adanya tekanan, peluang, dan rasionalisasi.
"Tekanan merujuk kepada kedudukan kewangan, emosi dan sebagainya yang menjadi desakan kepada individu tersebut untuk melakukan kesalahan rasuah bagi mendapat kewangan atau sesuatu kelebihan dengan jalan singkat dan salah.
"Peluang pula merujuk pada situasi yang membolehkan pelaku buat kesalahan rasuah tersebut tanpa ada kerisauan untuk tertangkap, ataupun hukuman yang dirasakan tidak cukup berat.
"Rasionalisasi apabila pelaku merasakan dia dapat menjustifikasi tindakan yang dibuat, contohnya dengan mengatakan ‘orang lain pun buat, takkan aku tak buat’,” tambahnya.
Katanya, sebaik mana sekalipun sistem yang ada di dalam negara ini, ia gagal apabila rasuah berleluasa.
"Undang-undang tidak dihormati, penguatkuasaan tidak berkesan, dan nilai murni dalam masyarakat sekadar menjadi perhiasan yang tidak dihayati.
"Apabila ini terjadi, imej negara akan turut tercalar teruk. Amalan rasuah menjadi norma kebiasaan,” katanya.