SEJAK beberapa minggu lalu, Amerika Syarikat (AS) berulang kali memberi amaran tentang ancaman pencerobohan berskala besar yang bakal dilancarkan Rusia ke atas Ukraine.
Jangkaan mereka, kempen serangan secara besar-besaran itu akan bermula pada jam 3 pagi (waktu tempatan) Rabu lalu nyata meleset apabila tiada apa yang berlaku pada hari tersebut, malah Moscow bertindak memberi sindiran pedas kepada Barat kerana terlampau taasub dengan propaganda perang.
Ketika ini, pemimpin dunia berterusan mengadakan rundingan diplomatik sebagai usaha untuk meredakan konflik tersebut di tengah-tengah situasi yang agak tidak menentu dengan penempatan pasukan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke Eropah Timur yang semakin dipertingkatkan untuk memperkukuhkan pertahanan di sayap berkenaan.
Ancaman pencerobohan itu telah menyebabkan perang retorik dilancarkan pemimpin Barat yang mengancam untuk mengenakan siri sekatan ekonomi lebih ketat dan kawalan eksport ke atas Moscow.
Sekatan tersebut dijangka menyasarkan bank utama Rusia yang akan menjejaskan keupayaan negara berpopulasi 144.1 juta penduduk itu untuk menjalankan urus niaga antarabangsa dan menyebabkan kenaikan harga yang bakal memberi impak besar kepada rakyat negara berkenaan atau menyebabkan mata wang atau pasaran Moscow mengalami kejatuhan teruk.
Oleh kerana Washington tidak terlalu bergantung dengan urusan perdagangan dengan Kremlin kecuali sektor tertentu yang bergantung kepada eksport komoditi mentah dari Moscow, sudah tentu ia tidak merasai kesan sekatan tersebut secara langsung seperti yang bakal dihadapi Eropah.
Tetapi, Rusia pastinya tidak hanya akan berdiam diri malah ia dijangka bertindak balas dengan lebih dahsyat.
Seperti yang diketahui, Moscow merupakan pengeksport utama minyak dan gas asli terutamanya ke Eropah.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Barat didakwa sedaya upaya cuba untuk mengelakkan sekatan ketat dikenakan ke atas eksport sumber tenaga Rusia.
Tetapi, masih terdapat risiko pasaran tenaga boleh berdepan gangguan.
"Bekalan berpotensi terjejas akibat konflik Ukraine tersebut kerana beberapa saluran paip yang menyalurkan gas dari Rusia ke Eropah merentasi Kiev. Ia boleh menyebabkan kenaikan harga yang lebih tinggi berikutan harga bahan api ditetapkan oleh pasaran global,” kata Doug Rediker di International Capital Strategies.
Selain itu, industri lain seperti makanan dan pembuatan kereta juga tidak terkecuali menerima impak besar serta bakal berdepan gangguan rantaian bekalan.
Sektor pertanian di Eropah juga dijangka terkesan jika eksport baja dihasilkan Kiev dan Moscow mengalami gangguan yang akan menyebabkan kenaikan harga makanan di seluruh dunia.
Akibatnya, kejutan kepada kestabilan antarabangsa boleh melanda pasaran global berikutan ancaman pencerobohan tersebut didakwa berada pada skala yang tidak pernah dilihat sejak Perang Dunia Kedua tercetus.
Satu lagi cara Rusia boleh bertindak balas dengan sekatan Barat adalah dengan melancarkan serangan siber yang menyasarkan infrastruktur kritikal seperti grid kuasa, hospital dan agensi kerajaan.
Bukan sahaja memberi kesan kepada sektor ekonomi, kempen pencerobohan Rusia juga boleh menyebabkan gelombang ‘tsunami' pelarian.
Ketika media Barat terlalu sibuk meramalkan perang yang bakal tercetus, penduduk Ukraine masih cuba bertenang walaupun sebahagiannya sudah membuat persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Mereka beranggapan ia adalah sebahagian taktik perang psikologi dilancarkan Rusia.
"Buat pertama kali sejak tahun 2014, berita risiko pencerobohan Moscow berulang kali diuar-uarkan Barat dan bukan dari Kiev sendiri,” kata Pengarah Pusat Baharu Eropah, Alyona Getmanchuk.
Menurutnya, penduduk Ukraine sudah jelak dengan momokan media terutamanya AS yang bersikap seperti ‘lebih sudu daripada kuah', namun tidak menolak kemungkinan peperangan mungkin berlaku dek tekanan daripada Barat.
* Lissa Kamal ialah wartawan Global Sinar Harian