SERAMAI 34 peninju menyahut cabaran Kejohanan Kuda Merah Muay Thai Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bakal berlangsung dari 25 hingga 27 Februari ini.
Presiden Muay Thai Kuda Merah, Rosli Yaacob berkata, bagi kejohanan kali ini pihaknya menghantar empat atlet dan kesemua mereka kini sedang melakukan persiapan penuh bagi merebut tali pinggang yang akan dipertandingkan.
"Kesemua peninju yang akan menyertai kejohanan ini sedang melakukan persiapan penuh bagi merebut tali pinggang yang akan dipertandingkan.
"Bagaimanapun diharapkan peninju-peninju Kuda Merah tidak memandang remeh lawan masing-masing memandangkan lawan lain turut berlatih keras untuk menang,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Konstabel Rais Junaidi atau panggilan Adik Rais Kuda Merah PDRM, meskipun dia merupakan muka baharu dalam kejohanan ini, namun dia akan cuba melakukan terbaik bagi membawa kejuaraan kepada pasukan.
Justeru katanya, dia kini sedang berlatih bersungguh-sungguh bagi merealisasikan impian untuk menghadiahkan tali pinggang buat pasukannya.
"Sebagai peninju muka baru mewakili kelab ternama di dalam polis saya memikul tanggungjawab yang besar membawa panji PDRM di kejohanan kali ini.
"Jadi saya harap mampu untuk menghadiahkan kejuaraan buat pasukan pada edisi kali ini,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak lapan tali pinggang bakal dipertaruhkan pada kejohanan kali ini yang melibatkan tali pinggang Menteri Wilayah, tali pinggang Sinar Harian, tali pinggang Majlis Sukan Wilayah dan tali pinggang Datuk Bandar.
Orang ramai terutama peminat sukan ini dijemput hadir dan boleh mendapatkan tiket tersebut di Facebook Muay Thai Kuda Merah.