SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran mengeluarkan senarai jenama Kit Ujian Pantas Antigen (RTK Antigen) Covid-19 yang diluluskan bagi mengelak penipuan keputusan positif Covid-19 dalam kalangan pekerja semata-mata untuk mendapatkan cuti kuarantin.
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, jenama berkenaan perlu disenaraikan dalam aplikasi MySejahtera untuk rujukan orang ramai terutama pekerja dan majikan.
"Saya syorkan semua kit ujian pantas yang diluluskan perlu ada kod respons pantas (QR) yang dipautkan terus ke aplikasi MySejahtera.
"Contohnya apabila keputusan positif, pengguna boleh imbas kod QR pada kit ujian pantas itu untuk memasukkan keputusan dan ia dapat mengelakkan berlaku penipuan sebegini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, tular di Facebook rakaman video keputusan kit ujian pantas menunjukkan tanda positif apabila diuji menggunakan sampel air paip sekali gus membolehkan individu menipu keputusan saringan Covid-19.
Dr Hanafiah menjelaskan, sekiranya hanya kit ujian pantas yang diluluskan digunakan untuk pengesanan maka penipuan keputusan demi kepentingan diri itu dapat dicegah daripada berlaku.
Katanya, punca keputusan kit ujian pantas memaparkan keputusan positif Covid-19 dalam video tular sebelum ini disebabkan kit tiada kelulusan KKM.
"Kit yang tak lulus KKM itu kalau kita lalukan air di atasnya akan tunjukkan keputusan positif. Sebab itu, KKM perlu keluarkan senarai nama RTK Antigen yang diluluskan atau dibenarkan sekali gus memastikan keputusan dimuat naik ke dalam MySejahtera tepat,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil kesempatan kerana dalam peralihan negara ke fasa endemik, kejujuran dan tanggungjawab sosial rakyat sangat diperlukan.
"Hati-hati dengan karma. Kalau kita menipu konon kita positif Covid-19, tak mustahil perkara itu benar-benar berlaku nanti,” katanya.