SHAH ALAM- Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu dilihat membantu menyediakan peluang kerjaya kepada rakyat yang masih berdepan dengan kadar pengangguran tinggi ketika pandemik Covid-19.
Presiden Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM), Datuk Muzamir Mustafa berkata, kadar pengangguran yang masih tinggi menjadi antara krisis besar perlu ditangani kerajaan dengan segera.
"Penganjuran karnival ini memang tepat terutamanya untuk mereka yang dibuang kerja akibat impak pandemik Covid-19 dan juga kepada graduan yang baru sahaja bergraduasi.
"Ditambah pula baru-baru ini hampir semua institusi pengajian tinggi (IPT) melaksanakan majlis konvokesyen. Ini sahaja sudah berpuluh ribu graduan yang sedang menunggu dan memohon pekerjaan. Jadi, ini adalah peluang terbaik bagi golongan pencari kerja,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, Muzamir mencadangkan agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut diberi peluang membantu kerajaan menggerakkan Karnival Kerjaya JaminKerja pada tahun ini.
"Ini supaya inisiatif kerajaan tersebut dapat merangkumi semua lapisan masyarakat, sekali gus dapat mengurangkan jumlah pengangguran dalam negara.
"Jika kerajaan nak buat ikut zon mungkin ada kekangan, jadi saya berpandangan kerajaan boleh berbincang dengan beberapa NGO untuk bantu meluaskan usaha ini secara menyeluruh,” jelas beliau.
Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang berlandaskan konsep jobs guarantee mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran negara.
Ismail Sabri berkata, kerajaan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan menerusi inisiatif berkenaan pada tahun ini.