Pakar ramal angka harian Covid-19 Thailand mungkin cecah 100,000 kes

Iklan
Gambar hiasan. -Foto: Reuters

BANGKOK - Pakar virologi Thailand Dr Yong Poovorawan memberi amaran bahawa kes Covid-19 harian boleh mencecah 100,000 berikutan subvarian BA.2 Omicron merebak pantas di negara itu.

Data menunjukkan pada 5 hingga 11 Februari, 500 kes daripada 1,975 kes jangkitan Omicron, atau 18.5 peratus merupakan subvarian BA.2.

Iklan
Iklan

Dr Yong, pakar virologi kanan Universiti Chulalongkorn berkata, secara purata 25,000 kes Covid-19 dilaporkan setiap hari, termasuk mereka yang diuji positif menggunakan kit ujian antigen (ATK).

Data itu menunjukkan kadar jangkitan sebanyak 10 kali ganda berbanding ketika empat gelombang sebelum ini.

Iklan

"Memandangkan Thailand kini berdepan gelombang kelima, saya berharap kadar jangkitan tidak meningkat kepada enam angka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 18,953 kes baharu Covid-19 dan 30 kematian, menjadikan jumlah kumulatif terkini sebanyak 2,712,315 dan 22,624 korban.

Iklan

Beliau berkata, subvarian BA.2 Omicron terus menular dengan purata 15,000 kes dilaporkan di Singapura manakala kes harian baharu di Korea Selatan melebihi 100,000 buat pertama kali pada 18 Feb.

"Thailand mungkin menerima nasib sama.

"Pada masa ini, wabak Covid-19 berada pada trend peningkatan Asia... Ia akan mencapai kemuncak sebelum kembali stabil dan bilangan kes baharu perlahan-lahan menurun seperti di Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.

Dr Yong menggesa orang ramai yang positif Covid-19 kuarantin kendiri di rumah atau elak berada di kawasan awam bagi membendung penularan virus itu.- Bernama