Mahkamah arah tiga beradik diserah kepada ibu

Iklan
Prosiding dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyerahkan tiga kanak-kanak kepada ibu kandungannya berkuatkuasa serta-merta.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkan seorang ibu tunggal, Loh Siew Hong, 34.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mahkamah berpuas hati bahawa Siew Hong telah diberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021.

Semasa prosiding, peguam, A Srimurugan yang mewakili Siew Hong berhujah, selaras dengan keputusan mahkamah sebelum ini, tiga beradik itu sepatutnya dikembalikan kepada ibu kandung.

Iklan

"Tindakan dua responden mengawal kanak-kanak itu boleh dianggap sebagai tidak menghormati keputusan Mahkamah Tinggi.

"Ini bukan berkaitan isu agama atau konflik melibatkan undang-undang syariah tetapi pematuhan terhadap perintah mahkamah terdahulu,” katanya.

Iklan

Sementara itu, peguam, Aidil Khalid yang mewakili Nazirah Nanthakumar Abdullah berkata, anak guamnya tidak wajar dinamakan sebagai pihak dalam permohonan tersebut kerana tiga beradik itu bukan lagi berada di bawah jagaannya.

Beliau berkata, asas dalam permohonan habeas corpus adalah penama perlu berada dalam tahanan salah secara fizikal oleh pihak yang menahannya.

Namun katanya, permohonan habeas corpus bukan lagi isu kerana tiga beradik itu tidak ditahan secara salah oleh responden pertama.

Malah beliau berkata, Siew Hong sendiri yang membuat keputusan agar anak-anaknya diletakkan di bawah jagaan JKM.

Pada 13 Februari lalu, Siew Hong selaku pemohon memfailkan writ habeas corpus terhadap Nazirah selaku responden pertama dan pihak yang menahan tiga anaknya sebagai responden kedua.

Dalam permohonan itu, Siew Hong mendakwa, meskipun dia memperoleh hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap tiga anaknya itu, tetapi sehingga kini, dia tidak dapat bertemu dengan mereka.

Ini kerana Siew Hong mendakwa, anak kembar perempuan berusia 14 tahun dan anak lelaki, 10 tahun itu disembunyikan oleh bekas suami, M Nagahswaran.

Siew Hong seterusnya memaklumkan, mereka berada dalam kawalan responden pertama di sebuah pusat NGO di Pulau Pinang dan tidak dibenarkan untuk bertemu.

Kemudian dia berkata, kanak-kanak itu dipindahkan ke Perlis dan diletakkan di bawah jagaan responden pertama dan kedua.

Sehubungan itu, Siew Hong menyatakan tindakan responden pertama dan kedua menyimpan anak-anaknya tanpa izin menjadikan mereka ditahan secara salah atau secara tidak patut (habeas corpus).

Menurut peguam, Nagahswaran kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan jenayah.

Siew Hong berpisah dengan Nagahswaran pada Mac 2019 dan dikatakan melarikan tiga anaknya ketika ketiadaan bekas isteri dan menukar agama serta menempatkan mereka di sebuah jagaan sebuah NGO.