Tiga beradik bergilir kongsi satu telefon untuk belajar

Iklan
Mazlieyana (kanan) bersama sepupunya, Nuremly Khairul Azwan, 8, (kiri) dapat melayari internet di halaman rumah di Kampung Labi selepas WiFi disediakan di rumah mereka.

BEAUFORT - Tiga beradik yang terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di atas sampan pada tahun lalu kini tidak perlu lagi keluar dari rumah untuk mendapatkan akses internet.

Mereka kini sudah boleh melayari internet dari dalam rumah selepas menerima sumbangan alat peranti pemancar WiFi daripada aktivis tempatan, Adrian Edy Siaw Chee Hua.

Iklan
Iklan

Menurut Muhd Ruzairiey Mat Lajim, 15, dia dan dua lagi adiknya sudah tidak perlu lagi menyeberangi Sungai Padas untuk mendapatkan rangkaian internet bagi menyiapkan tugasan sekolah.

"Sejak Jumaat lalu, kami sudah dapat melayari internet dan membuka 'link' tugasan sekolah yang diberikan cikgu dengan adanya WiFi yang dipasang di rumah kami.

Mazlieyana (tengah) bersama sepupunya, Nuremly Khairul Azwan, 8, (kiri) dapat melayari internet di halaman rumah di Kampung Labi, selepas WiFi disediakan di rumah mereka oleh Adrian Edy (kanan).

Iklan

"Kami berterima kasih kepada abang Adrian Edy kerana menyediakan WiFi bagi memudahkan kami mengikuti pembelajaran secara dalam talian memandangkan sesi persekolahan ketika ini tidak menentu berikutan kes Covid-19 masih meningkat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah mereka di Kampung Labi di sini pada Ahad.

Adiknya, Mazlieyana Razieyla Mat Lajim, 13, berkata, dia kini boleh mengajak rakan-rakan dan sepupunya belajar bersama di halaman rumah kerana sudah ada kemudahan WiFi.

Iklan

"Kalau dulu, kami terpaksa keluar mencari 'line' internet untuk menyiapkan tugasan sekolah kerana soalan banyak diberikan melalui WhatsApp.

"Jadi sekarang, saya sudah boleh ajak rakan atau sepupu belajar bersama-sama bagi mendapatkan rujukan tambahan melalui carian di internet," katanya.

Sementara itu, ibunya, Suzianah Bidin, 33, bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu anak-anaknya supaya tidak ketinggalan mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Namun dia berkata, tiga anaknya kini terpaksa bergantung dengan satu telefon pintar kerana masih belum mampu untuk membelikan mereka setiap seorang.

"Setakat ini, mereka terpaksa bergilir-gilir menggunakan telefon pintar untuk menyiapkan tugasan sekolah atau melayari internet.

"Saya berharap pihak berkaitan dapat membantu kami memandangkan gajet ketika ini penting untuk memudahkan sesi pembelajaran anak-anak," katanya.

Tiga beradik yang masing-masing bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Gadong itu masih berjalan kaki sejauh lebih satu kilometer dari rumah dan menaiki bot kira-kira lima minit untuk menyeberang Sungai Padas sebelum menaiki kenderaan untuk ke sekolah.

Mat Lajim Budrin, 43, (kiri) menghantar anaknya Mazlieyana (kanan) bersama anak saudaranya, Nuremly Khairul Azwan, 8, (tengah) dengan menaiki bot menyeberangi Sungai Padas jika mereka memerlukan rangkaian internet ketika menyiapkan tugasan sekolah sebelum ini.

Kisah tiga beradik belajar di atas sampan berikutan masalah tiada capaian internet di kawasan rumah selain kampung mereka dilanda banjir pernah disiarkan di Sinar Harian pada 24 Januari tahun lalu.