KUALA LUMPUR - Cubaan penjenayah hidupan liar memperdagangkan 1,162 ekor tenggiling sejak tahun 2014 hingga tahun lalu berjaya dipatahkan pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tidak dinafikan ada individu yang cuba mengimport spesies hidupan liar terancam itu ke luar negara selain dipasarkan di pasaran gelap dalam negara.
Menurutnya, pihaknya juga mengesan individu atau sindiket yang cuba menyeludup sisik tenggiling.
"Ini terbukti selepas tindakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) yang berjaya merampas 9,843.65 kilogram (kg) sisik tenggiling bagi tempoh tiga tahun sejak tahun 2018.
"Nilai harga bagi seekor tenggiling dianggarkan mencecah AS$1,000 (RM4,186) manakala dagingnya AS$300/kg (RM1,255.80)," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ujar beliau, selain tenggiling, beberapa spesies lain seperti gajah, tapir, rusa sambar, kambing gurun, harimau belang dan seladang juga dilaporkan kian terancam akibat pemburuan haram dan faktor-faktor lain.
Tegas Abdul Kadir, pihaknya akan teruskan penguatkuasaan untuk membanteras sebarang bentuk jenayah hidupan liar dan mempertahankan spesies hidupan liar di Malaysia dari terus menjadi mangsa pemburuan dan ancaman kepupusan.
"Masyarakat diminta salurkan maklumat jika ada mengesan pembabitan mana-mana pihak dalam kegiatan terbabit pemburuan haram," katanya.
Katanya, pihaknya tidak akan berhenti dalam usaha membenteras penjenayah hidupan liar ini.
"Ia menjadi satu amaran yang jelas kepada mana-mana individu yang ingin terus menjalankan aktiviti pemburuan haram hidupan liar agar dapat menghentikan aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas daripada pihak kerajaan," ujarnya.
Untuk info, Hari Tenggiling Sedunia Tahun 2022 (World Pangolin Day) disambut pada 19 Februari 2022 bertujuan meningkatkan tahap kesedaran orang ramai dalam memelihara dan melindungi spesies tenggiling ini yang kian diancam kepupusan.