Jabatan Perikanan rancang laksana projek akuakultur bantu nelayan

Iklan
Abdul Razak (dua dari kanan) menyerahkan lesen sampan khas kepada salah seorang nelayan sempena program Pelepasan Benih Ikan Lampam Sungai di Masjid As-Salimin Kandang pada Isnin. - Foto Bernama

MELAKA - Jabatan Perikanan negeri akan melaksanakan beberapa projek akuakultur bersama komuniti nelayan di Melaka tahun ini bagi membolehkan golongan itu memperoleh pendapatan sampingan.

Pengarahnya, Mohd Fauzi Salehon berkata, ia termasuk projek perintis ternakan ikan tilapia air payau di Kuala Linggi melibatkan pembinaan 64 sangkar dengan menyasarkan kira-kira 300,000 ekor benih untuk diternak awal Mac ini.

Iklan
Iklan

"Bagi projek berkenaan, seramai 16 peserta terpilih untuk mengusahakannya dan dalam tempoh empat bulan mereka boleh menuai hasilnya...kita lihat ikan spesies ini mempunyai potensi untuk pasaran selain mendapat permintaan tinggi kerana kualitinya yang lebih baik dari segi rasa dan bau.

"Selain itu, kita akan menggiatkan usaha menternak kupang di Zon Industri Akuakultur (ZIA) Sebatu dan Merlimau yang sedia ada dengan menambah jumlah panggar di perairan tersebut yang bukan sahaja untuk hasil makanan tetapi benih kupang untuk dijual kepada nelayan di Terengganu dan Langkawi, Kedah," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Iklan

Sebelum itu, beliau mengiringi Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menyempurnakan program Pelepasan 80,000 Benih Ikan Lampam dan Penyerahan Lesen Sampan Khas di Masjid As-Salimin di Kandang di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, perairan negeri itu juga mempunyai banyak benih kupang semula jadi yang tidak ada di negeri lain dan menerusi projek tersebut ia mampu memberi keuntungan kepada nelayan dalam jangka waktu singkat untuk mendapatkan hasil.

Iklan

Katanya, jabatan itu juga telah memohon kepada kementerian berkaitan untuk mendapatkan peruntukan bagi menjalankan projek ternakan kerang di perairan ZIA Sebatu tahun ini dengan melibatkan komuniti nelayan di situ dan ia dilihat mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka kerana permintaan yang sangat tinggi.

"Dari segi pemeliharaan kerang ini ia tidaklah sesukar mana tetapi harganya yang dijual kepada peraih antara RM10 hingga RM11 sekilogram selain dilihat mampu meningkatkan ekonomi nelayan untuk meraih pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan sekali gus melepasi tahap garis kemiskinan," katanya. - Bernama