Tak mahu isu 'siakap kayangan' berulang

Iklan
Mohd Firdaus (dua dari kiri) menyempurnakan gimik Majlis MoU antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah di Alor Setar, pada Isnin.

ALOR SETAR - Pelancong yang mahu bercuti di Pulau Langkawi sempena cuti persekolahan penggal ketiga diingatkan menjadi pengguna bijak agar tragedi ikan siakap harga kayangan tidak kembali berulang.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, semua pengguna perlu menyemak setiap harga perkhidmatan dan makanan di pulau pelancongan itu agar percutian mereka tidak terganggu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian tujuh pelancong di sebuah restoran terapung di Langkawi yang dikejutkan harga ikan siakap, termasuk hidangan makanan dan minuman lain mencecah harga empat angka pada November tahun lalu seharusnya menjadi iktibar.

"Kalau boleh, ketika cuti sekolah ini kita tidak mahu dengar lagi ikan siakap mahal. Konsepnya senang saja, tanya dahulu sebelum makan, jangan makan dulu baru tanya harga.

Iklan

"Sebagai pelancong kita perlu bijak menguruskan percutian. Pada cuti sekolah ini, memang akan ada peniaga yang akan naikan harga, jadi kita rancang awal untuk dapatkan harga yang murah serta rancang perjalanan kita agar menjadi lebih seronok dan lancar.

"Paling penting dapatkan perkhidmatan daripada agensi pelancongan yang sah," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, dekat sini.

Hadir sama ialah Pengerusi SWCorp Malaysia, Datuk Rizalman Mokhtar.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus berkata, lebih 60 peratus pengusaha pelancongan di Langkawi berjaya mengekalkan perniagaan mereka selepas kemasukan pelancong domestik yang memberangsangkan, terutamanya pada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, sempena cuti persekolahan penggal ketiga bermula Jumaat ini, pihaknya menggesa semua pelancong agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Pintu masuk di Langkawi sentiasa dalam keadaan bersiap sedia kerana masih ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memantau SOP.

"Begitu juga di dalam feri, cuma kita bimbang mengenai fenomena air pasang surut di jeti Kuala Perlis namun saya difahamkan semalam keadaan bertambah baik," ujarnya.