KUALA PILAH - Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum dirempuh sebuah kereta di persimpangan Jalan Dato Undang Johol di sini awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, kejadian pada jam 5.50 pagi menyebabkan mangsa, lelaki berusia 44 tahun mengalami kecederaan parah pada badan serta kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
"Berdasarkan siasatan awal, sebuah kereta jenis Hyundai Atos yang dipandu seorang wanita berusia 36 tahun dari arah Melang dan dalam perjalanan menghala ke Pasar Pekan Kuala Pilah, manakala mangsa dari arah Juasseh menuju ke Tampin.
"Sebaik tiba di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dipercayai tidak berhenti ketika lampu isyarat merah dan pemandu kereta tidak sempat mengelak sebelum terlanggar mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Jelasnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini untuk dibedah siasat.
"Pemandu kereta yang bekerja sebagai pengasuh tidak mengalami kecederaan," katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.