'Pembelot UMNO sedang pasang jerat sekali lagi'

Iklan
Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pembelot parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu sedang memasang jerat sekali lagi untuk memperdayakan penyokong UMNO.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Ahmad Zahid mengharapkan agar penyokong UMNO tidak akan masuk perangkap sama untuk kali kedua.

Iklan
Iklan

"Kisah segelintir penyokong UMNO berjaya diperdaya mereka yang belot kepada perjuangan parti pada PRU14 memang pahit untuk ditelan. Mereka terpengaruh dengan dakyah dilemparkan pembelot UMNO yang bersekongkol dengan musuh UMNO untuk menjatuhkan parti.

"Mereka terpesona dengan janji bulan bintang pembelot yang menawarkan lebih kesenangan andai musuh UMNO diberi undi dalam PRU berkenaan. Mereka terperangkap dengan naratif palsu pembelot UMNO konon mereka mahu mengalahkan UMNO adalah untuk selamatkan UMNO.

Iklan

"Namun penyokong UMNO terbabit menyaksikan sendiri apa yang dilakukan musuh dan si pembelot terhadap UMNO sejurus memegang kuasa. Betapa penghinaan dilemparkan ke atas UMNO dan penyokongnya selepas berjaya memperdayakan segelintir penyokong UMNO untuk membantu kemenangan mereka," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Ahmad Zahid, beliau sendiri didesak supaya membubarkan parti, manakala pemimpin yang enggan berpaling tadah serta akur kepada ugutan dan tawaran diasak dan ditekan.

Iklan

Malah beliau berkata, pembelot UMNO itu juga mengambil tindakan perundangan dalam usaha untuk mengisytiharkan UMNO sebagai parti yang tidak sah.

"Selepas usaha itu gagal mereka menggunakan pula kuasa jabatan kerajaan dalam cuban melemahkan struktur kepimpinan UMNO kerana bimbangkan kebangkitan parti ini," katanya.

Beliau berkata, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, mereka yang belot secara tiba-tiba enggan mengaku mengkhianati UMNO walaupun berkomplot secara rasmi dan sahih dengan musuh UMNO pada PRU14.

"Mereka kemudiannya mengitar semula skrip PRU14 konon mereka mahu menyelamatkan UMNO barangkali dengan harapan ada penyokong UMNO akan masuk perangkap sama kali kedua.

"Kali ini mereka silap kerana selepas apa penyokong UMNO terbabit saksikan selepas 9 Mei 2018, mereka kembali meyakini BN satu-satunya gabungan politik yang benar dan berwibawa.

"Seluruh ahli UMNO ingatlah peribahasa 'pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk' dan mereka sedang memasang jerat sekali lagi," katanya.