BUTTERWORTH - Seorang wanita yang kehilangan barang kemasnya kerana dibuang secara tidak sengaja ke dalam tong sampah bernasib baik apabila ia berjaya ditemui semula oleh pekerja Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), pada Ahad.
Rohaya Ismail, 31 berkata, dia terharu dengan kesanggupan pekerja MBSP untuk mencari barang berharga itu walaupun dalam timbunan sampah dan difikirkan mustahil untuk ditemukan semula.
Menurutnya, barangan kemas yang disimpan di dalam beg kecil itu dibuang bersama lampin anaknya pada malam Sabtu sebelum sampah berkenaan dikutip lori MBSP pada pagi Ahad.
"Kesemua barangan kemas dalam beg itu saya simpan sejak umur 18 tahun dan ia sangat bermakna bagi saya.
"Saya bukan berasal dari keluarga senang disebabkan ayah meninggal dunia masa usia saya 14 tahun. Jadi saya cuba mengumpul emas itu sedikit demi sedikit semasa bekerja kilang untuk kegunaan masa terdesak," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Rohaya yang juga anggota polis di Balai Teluk Air Tawar itu berkata, dia amat sedih dan kesal selepas menyedari kehilangan barangan kemas itu.
Jelasnya, ketika abangnya mahu keluar membuang sampah kira-kira jam 9 pagi pada Ahad, dia sempat meminta abangnya untuk mencari beg barangan kemasnya itu, namun tidak ditemui.
"Abang kemudian pergi berjumpa dengan pekerja MBSP tidak jauh dari kuarters didiami, namun mereka minta pergi ke Depo Pembersihan Tasek Gelugor sekiranya mahu mencari barang berkenaan.
"Memang saya tidak menaruh harapan tinggi untuk menemui semula barangan kemas itu tambahan pula bukan mudah untuk mencarinya dalam timbunan sampah.
"Saya reda kalau barang berharga itu tidak dijumpai semula namun sudah tertulis rezeki saya. Dengan keperihatinan dan kejujuran pekerja MBSP akhirnya barang kemas itu berjaya ditemukan selepas mereka menyelongkar lori sampah," katanya.
Rohaya bagaimanapun enggan mendedahkan nilai barangan kemas berkenaan.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pekerja MBSP atau lebih dikenali sebagai Wira Oren atas kesanggupan mereka sehingga barang miliknya ditemui semula.
Beliau berkata, walaupun ada yang memandang serong dengan pekerjaan mereka, namun baginya tugas yang dilakukan mereka sangat mulia apatah lagi mereka jujur dan ikhlas untuk mencari barang berharga yang hilang sebelum memulangkan kepada pemiliknya.