TASEK GELUGOR - Pekerja Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengambil masa lebih satu jam menyelongkar lori sampah untuk mencari barang kemas milik seorang wanita yang dilaporkan dibuang secara tidak sengaja pada Ahad.
Pembantu Kesihatan Awam Kanan, Depo Operasi Pembersihan MBSP Tasek Gelugor, Mohd Razizi Hassan berkata, sebaik dimaklumkan mengenai perkara itu daripada mandur yang bertugas, dia telah mengarahkan 10 petugas Wira Oren untuk melakukan kerja-kerja mencari barang yang hilang dari lori sampah terlibat.
Menurutnya, operasi berkenaan dimulakan kira-kira jam 12 tengah hari melibatkan 3 tan sampah yang telah dikutip pada pagi Ahad.
"Walaupun peluang untuk menjumpai barang kemas itu agak sukar dengan timbunan sampah yang banyak namun petugas Wira Oren tetap komited melakukan peranan mereka.
"Semua plastik sampah yang ada dikoyakkan satu persatu dan pencarian dibuat secara teliti bagi mencari barang yang dilaporkan hilang," katanya ketika ditemui media di sini pada Isnin.
Mohd Razizi berkata, selepas lebih satu jam kerja-kerja menyelongkar sampah itu dilakukan akhirnya beg kecil yang mengandungi barang kemas milik wanita berkenaan berjaya ditemukan oleh petugas Wira Oren, Zai Asmawi Zainol Abidin, 38.
Berkongsi pengalaman dan perasaannya selepas menjumpai barang berharga itu, Zai Asmawi berkata, dia rasa gementar dan seperti ingin menangis kepuasan selepas misi mencari yang dilakukan bersama rakan-rakannya berjaya.
Zai Asmawi yang telah berkhidmat selama 17 tahun dengan MBSP berkata, kesemua sampah yang dikutip itu diturunkan ke atas lantai sebelum mereka mengoyakkan satu persatu plastik sampah untuk mencari beg kecil milik wanita berkenaan.
"Melihat keadaan wanita itu yang menangis dan tertekan akibat kehilangan barang berharga yang dikatakan sangat bermakna dalam hidupnya membuatkan kami simpati.
"Bagaimanapun saya beritahu wanita itu supaya tidak terlalu berharap barang itu ditemui semula namun kami akan berusaha mencari sebaik mungkin," katanya.
Zai Asmawi berkata, dia sentiasa ingat pesanan pucuk pimpinan MBSP yang menekankan agar semua pekerja menjalankan tugas dengan penuh amanah serta jujur.
Katanya, disebabkan itu dia dan rakan-rakannya berasa puas dan gembira apabila dapat memulangkan semula barang kemas milik wanita berkenaan.