Menara telekomunikasi tumbang nyaris timpa surau

Iklan
Khairul Shahril (kiri) bersama ahli jawatankuasa surau meninjau keadaan menara telekomunikasi tumbang akibat ribut pada Isnin.

IPOH - Sebuah menara telekomunikasi yang tumbang dalam kejadian ribut pada petang Ahad nyaris menimpa Surau Diri Jumaat Al-Ansar Sri Botani, di sini.

Seorang jemaah surau, Semsudin Abu Beker, 71, berkata, ketika kejadian seramai 15 jemaah sedang menunaikan solat Asar di surau tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun kejadian itu tidak menimpa surau berkenaan, sebuah kabin yang menjadi tempat tinggal siak musnah ditimpa menara telekomunikasi itu.

"Ketika itu rakaat kedua semua jemaah dengar bunyi dentuman kuat. Sebaik sahaja selesai solat, kami bergegas keluar dan lihat menara di belakang surau tumbang.

Iklan

"Kabin yang ada di belakang surau rosak. Mujurlah tak ada sesiapa di dalam sebab siak surau tinggal di situ," katanya kepada pemberita selepas ditemui di surau berkenaan pada Isnin.

Bagi pengerusi surau, Mohd Fadzli Ahmad, ketika kejadian, dia tiada di surau dan hanya dimaklumkan oleh seorang ahli jawatankuasa.

Iklan

Menurutnya, kerugian setakat ini dianggarkan berjumlah RM20,000 melibatkan kerosakan kabin berkenaan.

Jelasnya, kabin tersebut sebelum ini digunakan sebagai surau sementara pada tahun 2012 dan selepas dinaik taraf kepada Surau Diri Jumaat, kabin itu didiami siak yang bertugas di surau berkenaan.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed turut melawat surau berkenaan bagi melihat kerosakan yang dialami akibat kejadian ribut itu.

Beliau yang ditemui pemberita selepas lawatan itu memaklumkan menara telekomunikasi itu akan segera dibaiki bagi memastikan kualiti liputan talian telefon tidak terganggu.

Menurutnya, pemilik menara telekomunikasi juga akan berbincang dengan pihak surau bagi melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan kesan kejadian tersebut.

"Kita telah minta pemilik menara telekomunikasi ini untuk membuat laporan penuh berhubung kejadian itu. Buat sementara waktu, Digital Perak akan memasang menara sementara di surau tersebut bagi memastikan liputan talian telekomunikasi tidak terganggu

"Saya juga telah mengarahkan Digital Perak serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam masa terdekat untuk memantau menara telekomunikasi yang lain di negeri ini bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Katanya, menara tersebut dijangka siap dibina dan beroperasi semula dalam tempoh tiga bulan akan datang.