JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor dalam fasa akhir untuk menggubal Dasar Agro Makanan Negeri Johor 1.0 bagi memberi laluan kepada usaha jangka masa panjang yang lebih sesuai.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, perkara itu juga adalah merangkumi perancangan dan idea boleh dilakukan kerajaan khusus dalam pembangunan industri agro makanan.
Beliau berkata, ini kerana nilai sumbangan sektor agro makanan dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kekal menunjukkan kadar peningkatan setiap tahun mencecah RM16.3 billion.
"Daripada jumlah ini, sektor agro makanan turut mencatatkan pertumbuhan sehingga 3.1 peratus ketika sektor lain menunjukkan penguncupan mendadak akibat pandemik Covid-19.
"Jadi bila kerajaan membentuk Bajet 2022, usaha untuk membangunkan sektor agro makanan ini perlu lebih tersusun dan berstruktur kerana kita sedar sektor ini telah melalui fasa transformasi pemodenan.
"Justeru itu, selain daripada memberi tumpuan kepada sektor ini sebagai impetus ekonomi baharu, kerajaan negeri kini dalam peringkat akhir penggubalan Dasar Agro Makanan Negeri Johor 1.0," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Penyumbang Sektor Agromakanan Negeri Johor 2022 di sini pada Isnin.
Hasni berkata, dasar yang ingin digubal itu juga akan melibatkan perubahan pelbagai sudut bagi sektor pertanian, teknologi yang digunakan dan pasaran yang perlu ditambah baik.
"Kerajaan negeri beriltizam untuk menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang kompetitif, berkapasiti dan berproduktiviti tinggi di dalam sektor pengeluaran makanan negara bukan sahaja untuk pasaran domestik malah pasaran serantau dan antarabangsa.
"Johor akan terus komited dalam usaha membangunkan sektor agro makanan sebagai industri yang mampan dan mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa," ujarnya.