IPOH - Cabaran politik yang berlaku di Perak tidak akan menjejaskan keyakinan pelabur ke negeri ini.
Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, walaupun pelbagai khabar angin berhubung situasi politik berlegar, namun pengusaha dan pelabur menunjukkan keyakinan tinggi terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
"Semua khabar angin ini hanyalah bersikap gimik politik, saya kira pengusaha-pengusaha perniagaan sudah terbiasa dengan keadaan ini kerana paling penting mereka tahu selama sembilan bulan ini, kita telah mentadbir kerajaan negeri dengan begitu baik.
"Kerana itu ada antara pelabur-pelabur ini mengambil keputusan menambah nilai pelaburan sedia ada mereka, keyakinan mereka kepada kerajaan negeri menjadikan industri pelaburan berada pada kedudukan yang baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kerjasama Perniagaan dan Perdagangan China-Perak di Dewan Bankuet Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, hari ini.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, nilai pelaburan di Perak bagi sektor pekilangan dan pembuatan meningkat kepada RM2.3 bilion berbanding RM2 bilion tahun sebelumnya.
"Ini angka yang direkodkan secara rasmi dan dengan beberapa jalinan usahasama kita lakukan, nilai pelaburan ini dijangka meningkat menjelang akhir tahun nanti," katanya.
Timbalan Pengerusi Amanah negeri itu turut memberi jaminan, tiada sebarang perubahan berlaku dalam barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri seperti yang didakwa pembangkang.
Katanya, perkara dimainkan itu tidak lebih isu ulangan sepertimana berlaku pada Persidangan Dewan Negeri sebelum ini.
"Kerajaan sekarang akan kekal, jika tidak kita tidak akan ada kerjasama-kerjasama luar seperti hari ini.
"Jadi pembangkang berhentilah bermain isu-isu sedemikian, sebagai kerajaan kita mahu tumpu usaha menenuhi kehendak rakyat, kita tiada masa nak bermain atau melayan kenyataan merapu seperti itu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Nizar berkata, jalinan perniagaan dan dagangan bersama China diyakini dapat membantu usahawan-usahawan Bumiputera membangunkan pasaran industri halal terutama ke negara Timur Tengah.
Menurutnya, China sudah lama ke hadapan dari segi pasaran produk-produknya, namun tidak semua negara mahu mendapatkan barangan itu secara terus.
"Usahawan kita boleh ambil ruang ini untuk dapatkan apa sahaja maklumat berkaitan pembuatan produk, tidak semestinya makanan atau minuman, tetapi barangan komestik juga.
"Jadikan ia produk yang halal di sini dan ia boleh digunakan untuk pasaran ke negara-negara luar," katanya.
Persidangan kali ini dihadiri lebih 300 delegasi membabitkan pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan pelabur dari China, Taiwan, India, Filipina, Singapura dan Indonesia.