Kajang United BC rangkul kejuaraan sulung

Iklan
Kajang United BC juara ACPLJ 2021/22 selepas menewaskan Ayer Itam BC dalam perlawanan akhir di House of Champions, Gem In Mall.

SAINGAN AEON Credit Purple League Junior 2021/22 (ACPLJ) melabuhkan tirainya dengan dramatik menyaksikan Kajang United BC muncul juara selepas menewaskan Ayer Itam BC 176 -122 pada perlawanan akhir pada Ahad.

Aksi yang berlangsung di House of Champions, Gem In Mall, Cyberjaya itu menyaksikan pasangan beregu campuran sang juara tidak perlu bermandi peluh apabila lawan mereka menarik diri di saat-saat akhir sekaligus memberi kemenangan percuma 3-0 (11-0, 11-0, 11-0).

Iklan
Iklan

Bagaimana pun Ayer Itam BC cuba bangkit pada perlawanan kedua menerusi taruhan perseorangan lelaki mereka Tan Wei Liang yang menewaskan Amirul Imran straight set 11-10, 11-10 dan 11-6 menjadikan kedudukan tiga sama.

Situasi seakan berpihak Ayer Itam BC pada perlawanan ketiga apabila perseorangan perempuan mereka Oo Shan Zi mencatat kemenangan 3-1 (6-11, 11-9, 11-6, 11-10) ke atas Lee Yu Shan serta kemenangan sensasi Chong Jenson – Ooi Yi Hern ke atas pasangan beregu lelaki Kajang United BC, Goh Yi Qin – Wong Zhi Kang 3-2 (7-11, 10-11, 11-10, 11-8, 11-8).

Iklan

Bagaimanapun, nasib memihak kepada Kajang United BC apabila sekali lagi diberi kemenangan percuma 3-0 selepas Ayer Itam BC mengambil keputusan untuk menarik diri.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kajang United, Fung Seng mengakui lega dengan persembahan dipamerkan para pemainnya berkata, mereka telah melakukan persiapan sejak tahun lalu meskipun diselubungi pandemik Covid-19.

Iklan

"Tetapi mereka tetap bekerja keras dan menunjukkan keinginan dan semangat yang tinggi untuk menang meskipun keputusan hari ini agak kurang memihak kepada kami.

Tambah beliau, ucapan terima kasih kepada Malaysia Purple League (MPL) kerana telah memberi platform kepada pemain-pemain muda untuk beraksi secara kompetitif bagi memastikan mereka boleh mengutip seberapa banyak pengalaman.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi MPL, Ho Khek Mong mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pasukan yang telah menyertai kejohanan edisi kali ini.

"Tahniah kepada semua pemain, dan pegawai yang telah menyertai kejohanan musim ini. Mereka telah menetapkan satu aras yang baharu buat pertandingan-pertandingan kelolaan Malaysia Purple League,” katanya.

Dalam pada itu, Perling BC pula muncul juara kategori Bawah 15 tahun selepas melakar kemenangan ke atas Butterworth BC 10-7.

Kajang United BC membawa pulang hadiah RM10,000 manakala Perling BC meraih RM5,000.

Sementara naib juara kedua-dua kategori berpuas hati dengan wang tunai berjumlah RM5,000 dan RM2,500.