PUTRAJAYA - Pembayar cukai disarankan membuat semakan status sekatan perjalanan terlebih dahulu sebelum merancang ke luar negara bagi sebarang tujuan, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam kenyataan pada Isnin, LHDN berkata, individu dan pengarah syarikat yang tidak menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah dan cukai syarikat boleh dikenakan tindakan sekatan perjalanan ke luar negara.
Iklan
Iklan
Kenyataan itu menyebut pemakluman tindakan sekatan perjalanan akan dibuat ke alamat terakhir yang dikemas kini oleh pembayar cukai kepada LHDN melalui data percukaian terkini yang direkodkan.
Pembayar cukai boleh menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan melalui portal MyTax atau boleh juga dibuat di laman web Jabatan Imigresen Malaysia.
"Sekiranya pembayar cukai mempunyai tunggakan cukai dan dilarang ke luar negara, mereka dinasihatkan menghubungi pejabat cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka bagi tindakan sewajarnya," katanya. - Bernama