PASIR GUDANG - Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang melanjutkan penutupan semua sekolah di Pasir Gudang sehingga cuti penggal kali ini merupakan keputusan tepat yang diambil.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, Abd Rashid Ahmad berkata, arahan tersebut juga dilihat adalah langkah terbaik untuk mengelakkan perkara tidak diingini berulang lagi.
"Kita beri sokongan penuh, selepas ini kita tahu yang sekolah akan boleh dibuka bila keadaan betul-betul selamat. Tidak berlaku lagi kejadian seperti sebelum ini.
"Selain itu, ia juga memberi peluang kepada pihak berwajib untuk melakukan kerja-kerja pembersihan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini.
Abd Rashid berkata, meskipun sekolah diarahkan tutup dalam tempoh yang panjang, proses pendidikan pelajar masih diteruskan menerusi pelbagai medium lain.
"Tidak perlu risau pelajar tertinggal, kaedah pembelajaran kita masih teruskan menggunakan talian dan sebagainya. Para pelajar juga diberikan latihan di rumah melalui aplikasi sosial,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada tiga pelajar SK Pasir Gudang 3, Nor Salimah Wimen, berkata, apa pun keputusan diumumkan kerajaan pihaknya yakin kerajaan sudah meneliti baik buruknya.
"Sebarang kemungkinan berlaku ada baik dan buruknya, sebagai ibu bapa kita hadapinya sebagai proses membesarkan anak-anak ini.
"Situasi seperti ini kita pun tidak boleh jangka. Sekolah tutup, anak-anak tertinggal itu tidak dapat dielakkan, yang penting sekarang kesihatan dan keselamatan anak-anak lebih utama,” katanya.