Ibu lega terima dokumen kewarganegaraan anak

Iklan
Tiga wakil ibu daripada enam orang keseluruhannya Adlyn Adam Teoh (dua, kiri), Devi (tengah) dan Myra Eliza Mohd Danil (dua, kanan) menunjukkan dokumen kewarganegaraan anak mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA- Penantian tiga ibu mendapatkan dokumen kewarganegaraan bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara kini berakhir, apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyerahkan dokumen berkenaan di ibu pejabat agensi itu di sini, hari ini.

Adlyn Adam Teoh, seorang ibu yang telah berjuang lebih 10 tahun bagi mendapatkan dokumen berkenaan untuk anak lelakinya ketika ditemui di sini, menyuarakan rasa terharu dan amat berterima kasih kepada kerajaan yang akhirnya mengiktiraf anaknya itu sebagai rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

"Hari ini adalah hari amat bermakna untuk saya. Saya bersyukur kerana keadilan telah ditegakkan. Setakat ini, hanya tiga ibu sahaja yang telah memperoleh kerakyatan untuk anak-anak kami, bagaimana pula dengan ibu lain yang masih menunggu dan menghadapi masalah sama,” katanya yang berasal dari Satok, Sarawak.

Beliau berkata meskipun telah menerima dokumen berkenaan, beliau akan menunggu panggilan JPN esok bagi memastikan perincian dokumen itu telah dimuat naik dalam sistem JPN.

Iklan

Pada 29 Disember lepas, Adlyn bersama Myra Eliza Mohd Danil dan Vimala Devi Muniappan, telah pun hadir di pejabat JPN di sini untuk mendaftar permohonan bagi mendapatkan kad pengenalan warga Malaysia, MyKid atau MyKad untuk anak-anak mereka.

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Disember lepas yang menolak permohonan kerajaan, dan memerintahkan kerajaan mengeluarkan dokumen kewarganegaraan kepada kanak-kanak berkenaan yang lahir di luar negara oleh ibu mereka yang merupakan rakyat Malaysia.

Myra Eliza dan Devi ketika ditemui turut melahirkan rasa teruja dan bersyukur kerana akhirnya kemelut mengenai dokumen kewarganegaraan anak mereka selesai.

Iklan

"Alhamdulillah, rasa beban kurang sedikit. Saya berjuang untuk isu dokumen ini sejak anak berumur empat tahun, sekarang dah lapan tahun. Terima kasih JPN,” kata Myra Eliza.

Sementara itu Presiden Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor dan Kuala Lumpur Suriani Kempe memberitahu media, ketiga-tiga ibu itu telah diberi janji temu untuk hadir ke ibu pejabat JPN pada 2.30 petang hari ini, namun pada pukul 5 petang mereka dimaklumkan sistem tergendala, dan diberikan tempoh 14 hari untuk datang semula bagi mendapatkan dokumen berkenaan.

"Namun selepas itu ada seorang pegawai JPN memaklumkan ketiga-tiga mereka akan menerima dokumen berkenaan hari ini,” kata Suraini kepada pemberita yang turut menunggu sejak pukul 2 petang di ibu pejabat JPN di sini bagi mengikuti perkembangan.

Ketiga-tiga mereka menerima dokumen berkenaan pada pukul 6.20 petang. - Bernama